Sabtu, 27 Oktober 2012

PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH [BHG9]


1.  Seterusnya Rasulullah s.a.w beredar perlahan-lahan dari Rauha' menuju ke Uthayah yang terletak kira-kira 90 km dari Rauha' dimana penunggang terpaksa bermalam pada malam Selasa di suatu tempat sebelum Nabi Muhammad s.a.w sampai di Uthayah.

2. Ketika berada di Uthayah terletak diantara Ruwaithah dan Arju tiba-tiba Rasulullah s.a.w terlihat seekor kijang yang terkena panah berhenti dibawah bayangan lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan seorang lelaki (mengikut sesetengah pendapat Rasulullah s.a.w  memerintahkan Abu Bakar as-Siddiq r.a.) supaya berdiri berhampiran kijang tersebut agar tidak diganggu oelh orang ramai sehingga mereka menjauhinya.

Di sini berlaku sedikit keraguan iaitu:
    Kenapakah Nabi s.a.w menyuruh agar memakan daging kaldai liar sedangkan baginda s.a.w. melarang dari memakan kijang ketika berada di Uthayah? Tafsir: Pemburu kaldai liar adalah seorang yang tidak berniat Ihram malah dia sendiri yang datang berjumpa Nabi Muhammad s.a.w dan baginda s.a.w. melihatnya tidak berihram. Oleh sebab itulah daging kaldai liar halal dimakan dan tidak ditegah dari memakannya. Mengenai kijang pula Nabi Muhammad s.a.w tidak mengetahui siapakah pemburunya dan siapakah yang memanahnya. Adakah orang yang memanahnya seorang yang berihram atau tidak? Oleh sebab yang demikianlah baginda s.a.w. tidak mengizinkan para sahabat memakannya.

Haji Wida' > Arju

Arju - Berhenti Di Arju:
Selasa 29-11-10 H 25-2-632 M


Arju adalah sebuah tempat yang terletak berhampiran dengan Badar tempat dimana berlakunya peperangan Badar Kubra. Nabi Muhammad s.a.w berhenti di Arju. Ia terletak tidak begitu jauh dari Uthayah. Baginda s.a.w. bermalam di Arju pada malam Rabu. Cuba perhatikan adakah jumlah hari bulan Zulkaedah tahun kesepuluh Hijrah sebanyak 29 hari atau 30 hari.

Maklumat:
Terdapat perselisihan pendapat di antara perawi tentang bulan Zulkaedah tahun 10 Hijrah. Adakah ia sempurna atau kurang? Sebab berlakunya perselisihan pendapat ialah kerana terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, Saidatina Aisyah dan Jabir r.a (bahawa Nabi Muhammad s.a.w keluar dari Kota Mahinah lima hari sebelum sempurna bulan Zulkaedah oleh itu Ibnu Hazmi berkata Nabi Muhammad s.a.w keluar pada Hari Khamis 24 Zulkaedah.

Pendapat yang lain mengatakan, Nabi Muhammad s.a.w keluar pada hari Sabtu dan perawi menyangka bulan tersebut adalah sempurna. Oleh itu semua pendapat bersepakat mengatakan bahawa bulan Zulkaedah pada tahun tersebut hanya 29 hari sahaja. Hanya Allah s.w.t. sahaja Yang Maha Mengetahui perkara sebenarnya.

*  Nabi Muhammad s.a.w keluar pada hari Sabtu 26 Zulkaedah bersamaan 22 Februari 632 M.
* Bilangan hari pada bulan Zulkaedah tahun 10 Hijrah adalah 30 hari.
* Bulan Zulhijah juga adalah sebanyak 30 hari kerana tahun tersebut adalah tahun lompat mengikut taqwin (kalendar) Hijrah dan bulan Februari adalah sebanyak 29 hari kerana tahun 632 M juga adalah tahun lompat mengikut taqwim (kalendar) Masehi.
* Apabila bilangan hari bulan Zulhijah sebanyak 30 hari nescaya tahun Hijrah tersebut dikira tahun lompat, jika bilangan bulan Zulhijah sebanyak 29 hari nescaya tahun tersebut dikira bukan tahun lompat. Sekiranya anda ingin mengetahui perbezaan di antara tahun Hijrah biasa dengan tahun Hijrah lompat, anda bolehlah membahagikan jumlah hari dalam tahun tersebut kepada 30. Cuba bandingkan bakinya bersama nombor-nombor berikut: 2 - 5 - 7 - 10 - 13 - 15 - 18 - 21 - 24 - 26 - 29, sekiranya baki tersebut menyamai salah satu darinya maka jelaslah bahawa tahun tersebut adalah tahun lompat. Jika sebaliknya, maka tahun tersebut bukan tahun lompat. Perkara sebegini jelas pada bulan Zulhijah, sekiranya tahun tersebut bukan tahun lompat maka bilangan hari bulan Zulhijah adalah sebanyak 29 hari, tetapi jika tahun tersebut tahun lompat maka bilangan hari bulan Zulhijah adalah sebanyak 30 hari.
Arju - Kehilangan Unta:

Rabu 30-11-10 H 26-2-632 M
Unta pembawa makanan Nabi Muhammad s.a.w dan makanan Saidina Abu Bakar as-Siddiq adalah unta yang sama. Ia dibawa oleh budak suruhan Saidina Abu Bakar. Ketika mereka berhenti di Arju, Nabi Muhammad s.a.w duduk berehat dan Abu Bakar berada disisi Nabi Muhammad s.a.w manakala Aisyah berada disisi Nabi Muhammad s.a.w dibahagian yang lain. Asma' binti Abu Bakar juga berada ditempat tersebut. Abu Bakar menunggu-nunggu budak suruhannay datang berjumapa dengannya. Setelah beberapa ketika budak suruhan yang ditunggu-tunggu datang berjumpa dengannya tetapi tidak ada unta bersamanya. Lalu Abu Bakar bertanya: "Dimana untamu?" Budak tersebut menajwab: "Telah hilang kelmarin." Abu Bakar berkata sembil merenung tajam: Unta seekor pun boleh hilang?" Lalu Saidina Abu Bakar memukul budak suruhannya sedangkan Nabi Muhammad s.a.w hanya tersenyum kemudian berkata: "Tengoklah kamu kepada orang yang berihram ini. Apakah yang dia lakukan?" Nabi Muhammad s.a.w tidak lagi meneruskan kata-katanya itu sebaliknya Nabi Muhammad s.a.w terus tersenyum.

Arju - Makanan Ahli Fadhalah:

Rabu 30-11-10 H 26-2-632 M.
Ketika diberitahu tentang kehilangan unta Rasulullah s.a.w yang membawa makanan kepada keluarga Fadhalah, mereka terus mengambil satu bekas yang penuh dengan Hais iaitu makanan yang diperbuat dari minyak sapi dan gandum atau gandum dan tamar lalu membawanya kepada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai Abu Bakar! Kemarilah. Allah s.w.t. telah mengurniakan kepada kita makanan yang lebih baik". Melihat keadaan Abu Bakar yang masih lagi tidak dapat menahan kemarahan terhadap budak suruhannya, Rasulullah s.a.w berkata: "Cukuplah wahai Abu Bakar! Apa yang berlaku bukanlah kehendak kamu dan bukan juga kehendak kita semua, malah budak suruhan kamu cukup berhati-hati agar unta tersebut tidak hilang. Semua perkara ini adalah diluar kehendaknya". Setelah itu Rasulullah s.a.w, keluarga baginda s.a.w., Abu Bakar dan para sahabat yang ada bersamanya memakan makanan yang dihidangkan sehingga mereka semua kenyang.

Arju - Unta Kembali:

Rabu 30-11-10 H 26-2-632 M
1. Orang ramai terkejut melihat keadaan Safuan bin al-Mu'attal r.a yang tergesa-gesa membawa seekor unta yang membawa bekalan makanan ke rumah Rasulullah s.a.w, sehinggalah beliau meletakkan unta tersebut di hadapan pintu rumah baginda. Melihat keadaan demikian Rasulullah s.a.w bertanya kepada Abu Bakar as-Siddiq r.a: "Itukah barang-barangmu?" Abu Bakar menjawab: "Aku tidak pernah kehilangan sesuatu kecuali sebiji bekas yang biasa kami gunakan untuk meminum air dan ia diperbuat dari kayu." Budak suruhannya menjawab: "Ini bekasnya! Ada bersamaku." Abu Bakar berkata kepada Safuan: "Allah s.w.t. telah mengurniakan amanah kepadamu."
2. Setelah beberapa detik Saad bin Ubadah dan anaknya Qais r.a datang memanggil Rasulullah s.a.w sambil membawa seekor unta yang penuh dengan bekalan makanan. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w, mereka berdua terus mendapatkan Nabi Muhammad s.a.w yang masih berdiri di pintu rumahnya. Pada waktu itu Allah s.w.t. telah mengembalikan unta pembawa bekalan yang telah hilang. Saad berkata: "Wahai Rasulullah! Kami telah diberitahu bahawa kamu telah kehilangan unta yang membawa bekalan makanan pagi tadi. Oleh itu ambillah unta kami ini yang penuh dengan bekalan makanan sebagai gantinya." Rasulullah s.a.w menjawab: "Allah s.w.t. telah mengembalikan unta kami yang membawa bekalan makanan. Pulanglah kamu berdua dengan membawa unta yang penuh dengan bekalan makanan kamu itu, semoga Allah s.w.t. memberkati kamu berdua.
Haji Wida' > Abwa'

Abwa' 30-11-10 H 26-2-632 M

1. Kemudian Rasulullah s.a.w meneruskan perjalanan. Semasa Rasulullah s.a.w berada di Abwa' Rasulullah s.a.w dihadiahkan seekor kaldai liar oleh as-So'bu bin Jassamah. Mengikut riwayat yang lain: "Separuh kaldai liar" namun Rasulullah s.a.w tidak menerimanya sebaliknya Rasulullah s.a.w bersabda: "Aku tidak akan menolaknya sekiranya aku tidak berihram."

2.   Para sahabat yang menunggang binatang tunggangan meneruskan lagi perjalanan menuju ke Wadi Asafan yang terletak di Mekah pada hari Rabu.

Haji Wida' > Asafan

Jumaat 2-12-10 H 28-2-632 M

1.Nabi Muhammad s.a.w bermalam pada malam Khamis di suatu tempat yang terletak di antara Abwa' dan Wadi Asafan. Nabi Muhammad s.a.w  meneruskan perjalanan pada hari Khamis dan bermalam pada malam Jumaat di suatu tempat yang tidak begitu jauh dengan Wadi Asafan manakala pada hari Jumaat pula, Nabi Muhammad s.a.w  meneruskan lagi perjalanannya sehinggalah sampai di Wadi Asafan.

2. Semasa Nabi Muhammad s.a.w berjalan-jalan di Wadi Asafan, Baginda s.a.w. bersabda: "Wahai Abu Bakar, Wadi apakah ini?" Abu Bakar menajwab: "Wadi Asafan, ya Rasulullah" Baginda s.a.w.  bersabda: "Sesungguhnya Nabi Hud dan  Nabi Soleh telah melalui wadi ini secara menunggang unta jantan yang masih muda dan berwarna merah serta mempunyai tali kekang yang diperbuat dari seludang iaitu kelopak atau pembalut yang berjalur dan berselimut dengan jubah. Mereka bertalbiah dan mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah."

3.   Rasulullah s.a.w bermalam di Mekah pada malam Sabtu selepas Baginda s.a.w.  melalui Wadi Asafan. Setelah Subuh Baginda s.a.w. meneruskan lagi perjalanan ke Saraf.

Haji Wida' > Saraf-Melintasi

Sabtu 3-12-10 H 29-2-632 M

Ibnu Saad menyebut di dalam kitab at-Tobaqaat al-Kubra bahawa: "Rasulullah s.a.w melalui az-Zahran pada hari Isnin dan matahari tenggelam pada hari yang sama semasa baginda berada di Saraf." Sebenarnya: Rasulullah s.a.w melalui az-Zahran pada pagi hari Sabtu kemudian melalui Saraf pada hari yang sama dan Rasulullah s.a.w meneruskan perjalanan sehinggalah Rasulullah s.a.w berhenti di Zu Tuwa serta Rasulullah s.a.w bermalam di sana pada malam Ahad, Wallahu A'lam.

Saraf - Membatalkan Haji:

Sabtu 3-12-10 H 29-2-632 M

1.  Ketika Rasulullah s.a.w berada di Saraf, Baginda s.a.w. berkata kepada para sahabat: "Sesiapa yang tidak mempunyai Dam dan ingin menukar ibadat Hajinya kepada Umrah maka bolehlah dia melakukannya tetapi sesiapa yang mempunyai Dam janganlah berbuat demikian." (iaitu hendaklah dia terus berada di dalam Ihramnya). Tindakan ini dinamakan oleh ulama-ulama Fekah sebagai membatalkan Haji.

2.  Empat belas orang sahabat r.a telah meriwayatkan hadis daripadaRasulullah s.a.w tentang tindakan menukar ibadat Haji kepada Umrah dan Hadis mereka semua adalah Sahih.

Saraf - Aisyah Menangis:

Sabtu 3-12-10 H 29-2-632 M

   Ketika Rasullullah s.a.w. berada berada di daerah Saraf, Saidatina Aisyah datang haid sedangkan beliau dalam keadaan berihram umrah, lalu Rasullullah s.a.w. menemuinya yang kebetulan sedang menangis. Rasullullah s.a.w. bertanya: "Aisyah, apakah yang menyebabkan kamu menangis, jangan-jangan kamu datang haid?" Aisyah menjawab: "Ya". Rasullullah s.a.w. berkata: "Ini adalah sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. keatas wanita-wanita, oleh itu lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh jemaah Haji, cuma janganlah kamu melakukan Tawaf."
Haji Wida' > Mekah

Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M

1. Rasulullah s.a.w bertolak ke Mekah dan memasukinya melalui dataran tinggi yang terletak dari arah Hajun.

2. Rasulullah s.a.w berjalan memasuki Kota Mekah pada waktu Dhuha dan terus ke pintu Masjidil Haram lalu mentelekukan unta tunggangannya kemudian memasuki Masjidil Haram melalui Bab Abdul Manaf (Pintu Abdul Manaf) dan kini orang ramai menamakannya Bab Bani Syaibah (Pintu Bani Syaibah). Rasulullah s.a.w memerhati ke arah Baitullah dan menghadapnya lantas mengangkat kedua tangan seterusnya bertakbir sambil membaca: Yang bermaksud: "Ya Allah, Engkaulah yang bersifat sejahtera, dariMu sahajalah kesejahteraan. Oleh itu hidupkanlah kami wahai Tuhanku dengan kesejahteraan. Ya Allah, tambahkanlah Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebaikan serta tambahkanlah kurniaMu kepada sesiapa jua yang memuliakannya (Baitullah) dan membesarkannya dari kalangan orang-orang yang mengerjakan ibadat Haji atau Umrah dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebajikan.

Di dalam riwayat yang lain Rasulullah s.a.w membaca: Yang bermaksud: "Ya Allah, tambahkanlah Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebaikan."
Semasa Rasulullah s.a.w memasuki Masjidil Haram, Rasulullah s.a.w  terus menuju ke Baitullah tanpa mendirikan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid kerana Tahiyyatul Masjid bagi Masjidil Haram adalah Tawaf.

Mekah - Tawaf:

Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M
1. Rasulullah s.a.w memulakan Tawafnya dari Hajarulaswad. Rasulullah s.a.w melambaikannya tanpa bersesak-sesak untuk mengucupnya sambil kedua mata baginda penuh berlinangan air mata.
2.  Rasulullah s.a.w memakai pakaian Ihram secara menutup bahu kiri dan membuka bahu kanan. Rasulullah s.a.w berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan, setelah selesai empat pusingan Rasulullah s.a.w mengucup Hajarulaswad dan meletakkan kedua tangan keatasnya kemudian menyapu kemuka.
3.  Rasulullah s.a.w meneruskan lagi tawafnya sebanyak tiga pusingan, setiap pusingan Rasulullah s.a.w memulakannya dari Hajarulaswad dan mengakhirinya juga di Hajarulaswad. Pada ketiga-tiga pusingan ini Rasulullah s.a.w berjalan agak cepat sedikit, walau bagaimanapun Rasulullah s.a.w tidak membuka langkah lebih luas.
4.  Setiap kali Rasulullah s.a.w sampai di garisan Hajarulaswad, Rasulullah s.a.w mengisyaratkannya secara melambai dengan menggunakan Mihjan (tongkat yang berkepala bengkok) dan mengucup Mihjannya. Semasa melambai Rasulullah s.a.w membaca:
5.  Rasulullah s.a.w berkata kepada Umar bin al-Khattab r.a.: "Wahai Umar, engkau adalah seorang lelaki yang kuat. Oleh itu janganlah kamu berebut-rebut dengan orang ramai untuk mengucup Hajarulaswad kerana keadaan demikian akan menyakiti orang-orang yang lemah. Sekiranya engkau berpeluang bolehlah engkau mengucupnya jika tidak maka hadaplah kearahnya serta bertalbiah dan bertakbir."
6.  Orang ramai menghafal doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w ketika berada di antara dua rukun iaitu: Rukun Yamani dan Hajarulaswad. Doa tersebut ialah: Yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini, begitu juga kurniakanlah kepada kami kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab Neraka."
7.  Setelah selesai TawafRasulullah s.a.w beredar ke belakang maqam Ibrahim sambil membaca: Yang bermaksud: "Dan kamu jadikanlah maqam Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang." Pada waktu itu maqam Ibrahim terletak sangat hampir dengan Kaabah. Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat dibelakang maqam Ibrahim dengan kata lain Rasulullah s.a.w menjadikan maqam Ibrahim berada diantara Rasulullah s.a.w dan Kaabah. Pada rakaat pertama Rasulullah s.a.w membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun manakala pada rakaat yang kedua pula Rasulullah s.a.w membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas."
8.  Sebaik sahaja selesai sembahyang baginda terus beredar ke Hajarulaswad lalu mengucupnya kemudian Baginda s.a.w. keluar melalui Bab Bani Makhzum (Pintu Bani Makhzum) yang bertentangan dengan bukit Safa untuk memulakan Saie. Rasulullah s.a.w tidak berebut-rebut dengan orang ramai untuk mengucup Hajarul Aswad, tidak menghadap ke arah Rukun Yamani, tidak mengangkat kedua tangannya dan tidak menyebut: Yang bermaksud: "Sahaja aku berniat Tawaf pada minggu ini (sekian atau sekian.) Begitu juga Baginda s.a.w. tidak memulakannya dengan bertakbir sebagaimana Baginda s.a.w. bertakbir untuk sembahyang.
Rasulullah s.a.w tidak menyentuh Hajarulaswad dengan menggunakan kedua-dua tangannya, tidak berdoa ketika berada di pintu, tidak berdoa ketika berada di bawah saluran hujan yang diperbuat dari emas, tidak berdoa di belakang Kaabah, tidak menghadkan zikir-zikir tertentu semasa Tawaf dan Rasulullah s.a.w tidak melakukannya malah Rasulullah s.a.w tidak mengajarnya. Oleh yang demikian sepatutnya orang ramai mengambil perhatian terhadap apa yang mereka lakukan tanpa pengetahuan yang mendalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan