Sabtu, 27 Oktober 2012

PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH [BHG2]


Mengikut pendapat Mazhab Syafie:

Disyaratkan bersama suami atau mahram atau beberapa orang perempuan yang thiqah (dipercayai) dan ada yang berpendapat cukup hanya dengan seorang perempuan yang thiqah sahaja.

Mengikut pendapat Mazhab Maliki:

Orang perempuan dibolehkan keluar untuk mengerjakan Haji dengan ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai dengan syarat jarak di antara dia dan Mekah adalah perjalanan selama satu hari satu malam dan apabila seorang perempuan menyalahi syarat ini dan mengerjakan Haji tanpa ditemani suami atau mahram, Hajinya dikira sah tetapi dia berdosa.

Meminta Keizinan Suami Untuk Mengerjakan Ibadat Haji:

Suami tidak boleh menegah isterinya dari mengerjakan Haji yang fardu dan Haji yang dinazarkan manakala Haji sunat bolehlah dia menegahnya. Orang perempuan wajib ditemani mahram atas perbelanjaannya manakala mahram atau suami tidak diwajibkan bermusafir bersamanya.

Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas, dia dibolehkan mengerjakan semua perkara yang dilakukan oleh orang Haji tetapi tidak boleh melakukan Tawaf di Baitullah, berpandukan kepada hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: "Aku tiba di Mekah ketika sedang haid dan aku tidak melakukan Tawaf, sama ada di Baitullah ataupun di antara Safa dan Marwah." Katanya lagi: "Aku telah mengemukakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh orang Haji tetapi janganlah mengerjakan Tawaf di Baitullah sehingga kamu telah suci."

Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas sebelum mengerjakan Tawaf Qudum gugurlah pekerjaan tersebut dan dia tidak dikenakan apa-apa. Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas sebelum mengerjakan Tawaf Ifadhah, dia hendaklah kekal berada di dalam Ihram sehingga telah suci kemudian bolehlah mengerjakan Tawaf. Sekiranya seseorang perempuan mengerjakan Tawaf sedangkan dia didatangi haid, Tawaf tersebut tidak sah mengikut pendapat Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, manakala mengikut pendapat Mazhab Hanafi pula tawaf tersebut sah tetapi makruh yang membawa kepada haram dan dia juga berdosa serta dikenakan Badanah (Dam seekor unta atau lembu). Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas selepas Tawaf Ifadah dia tidak perlu lagi mengerjakan Tawaf Wida'.

Ibadat Haji Anak Kecil (Kanak-kanak):

Kanak-kanak tidak diwajibkan mengerjakan Haji tetapi sekiranya dia mengerjakannya, Haji tersebut dikira sah tetapi tidak mendapat ganjaran Haji yang fardu.

Diriwayatkan bahawa seorang perempuan telah mengangkat seorang kanak-kanak (untuk ditunjukkan) kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: "Adakah (kanak-kanak) ini boleh mengerjakan haji?" Baginda s.a.w. menjawab: "Ya dan kamu mendapat pahala."

Diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya: "Kami telah mengerjakan haji bersama Rasulullah s.a.w. dan bersama-sama kami juga terdapat wanita dan kanak-kanak, kami telah bertalbiah untuk kanak-kanak kami juga telah melontar untuk mereka."

Apabila kanak-kanak mengerjakan Haji sebelum sampai umur (baligh), dia diwajibkan mengerjakan Haji apabila telah sampai umur dan begitu juga dengan seorang hamba, apabila dia mengerjakan Haji ketika menjadi hamba kemudian dimerdekakan, wajiblah dia mengerjakan Haji sekiranya dia mempunyai kemampuan untuk mengerjakannya.

Ibnu Abbas r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Mana-mana kanak-kanak yang telah mengerjakan Haji kemudian dia telah baligh, wajiblah dia mengerjakan Haji sekali lagi. Mana-mana hamba yang telah mengerjakan Haji kemudian telah dimerdekakan, wajiblah dia mengerjakan Haji sekali lagi".

Apabila seseorang kanak-kanak telah mumayyiz bolehlah berniat Ihram sendiri dan menunaikan ibadat Haji, jika belum mumayyiz walinya bolehlah berniat Ihram dan bertalbiah untuknya, membawanya melakukan Tawaf dan Saie, Wukuf di Padang Arafah serta melontar Jamrah untuknya. Sekiranya seseorang kanak-kanak sampai umur (baligh) sebelum Wukuf di Padang Arafah atau ketika berada di sana, Hajinya dikira Haji fardu.

Imam Malik berpendapat:

Tidak dikira Haji fardu.

Pendapat Mazhab Hanafi:

Dikira sebagai fardu sekiranya dia memperbaharui niat Ihram selepas baligh.

JENIS-JENIS DAM

Fidyah bercukur kerana keadaan terdesak, memakai pakaian dan memakai wangi-wangian:


Dipilih di antara tiga perkara, iaitu:

Berpuasa tiga hari

Memberi makan kepada enam orang fakir miskin dimana setiap seorang diberikan setengah gantang.

Mereka yang membunuh binatang buruan yang mudah didapati:
Boleh memilih jenis Fidyah sama ada menggantikannya dengan binatang dari jenis yang sama atau menilaikannya dengan wang untuk membeli makanan dimana untuk setiap orang fakir miskin diberikan satu cupak atau berpuasa satu hari untuk setiap cupak.

Mereka yang membunuh binatang buruan yang susah didapati:
Boleh memilih sama ada memberi makanan atau berpuasa.

Fidyah kerana menggauli isteri:
Sama dengan Fidyah bercukur kerana terpaksa.

Fidyah bersetubuh:

Sekiranya berlaku sebelum Tahallul Awal:
Seekor badanah (unta atau lembu), sekiranya tidak didapati hendaklah berpuasa sebanyak tiga hari dalam musim Haji dan tujuh hari apabila kembali ke tanah air.

Sekiranya berlaku selepas Tahallul Awal:

Fidyahnya sama sebagaimana Fidyah bercukur kerana terpaksa.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan