Sabtu, 27 Oktober 2012

PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH [BHG4]


Tempat Penyembelihan:

Wajib dikorbankan di Tanah Haram dan dibahagikan kepada orang-orang miskin dan harus dibahagikan Dam tersebut kepada seluruh orang Islam yang fakir.

Dam Ihsar:
Definisinya:
Binatang ternakan (berkaki empat) yang dikorbankan di Baitullah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Dalilnya: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati."

Hukumnya:
Wajib kepada mereka yang terhalang dari bertahallul sebelum sempat menyempurnakan ibadat Haji.

Tempat Penyembelihan:
Di tempat berlaku sebab-sebab yang menghalangnya.

Jenis-jenisnya:
Satu pertujuh dari unta atau lembu atau seekor kambing.

Korban:
Definisinya:
Menyembelih unta, lembu atau kambing untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Waktu Penyembelihan Korban:
Waktu penyembelihan bermula selepas sembahyang pada Hari Raya Haji sehingga berakhir Hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah).

Hukumnya:
Sunat Muakkad, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai Allah s.w.t. ialah penyebelihan korban, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduknya, kukunya dan bulu-bulunya, sesungguhnya Allah s.w.t. akan menerima penyembelihan korban tersebut sebelum darahnya tumpah kebumi, maka hendaklah kamu ikhlaskan diri kamu semasa kamu melakukan penyembelihan korban tersebut."

Ia disyariatkan pada tahun kedua Hijrah: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyembelih korban dua ekor kabasy yang berwarna antara putih dan hitam serta mempunyai dua tanduk, kedua-duanya disembelih oleh Baginda s.a.w. dengan tanganya. Baginda s.a.w. mengucapkan Basmalah dan bertakbir serta meletakkan kaki dibahagian tepi rusuk kibasy tersebut.

Jenis-jenisnya:
Unta yang berumur lima tahun, lembu yang berumur dua tahun atau kambing yang berumur enam bulan. Adapun unta dan lembu hanya perlu diambil satu bahagian sahaja dari tujuh bahagian.

Pembahagiannya:
Disyarakkan kepada orang yang berkorban memakan satu pertiga daripada daging tersebut, satu pertiga dihadiahkan dan satu pertiga lagi disedekahkan. Dia diharuskan memakan lebih dari satu pertiga daripada daging korban tetapi sekiranya dia memakan kesemua daging tersebut dan dia hanya ingin menyedekahkan harga bagi sedikit daging korban sahaja, dia bolehlah berbuat demikian.



Penyembelihannya:
Disunatkan supaya bertakbir kepada Allah s.w.t selepas mengucapkan Basmalah dan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w kemudian berkata: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Engkaulah yang menciptakan aku dan kepadaMu aku akan kembali, oleh itu terimalah korban daripadaku."

Kisah-kisah Al-Quran: Kisah Penyembelihan

1-Setelah Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s berpindah dari negeri kaumnya, beliau memohon kepada Allah s.w.t supaya dikurniakan seorang anak yang soleh, lalu Allah s.w.t mengembirakannya dengan mengurniakan seorang anak yang cantik iaitu Nabi Ismail a.s yang dilahirkan ketika Nabi Ibrahim a.s berumur 86 tahun. Setelah Nabi Ismail a.s meningkat dewasa, Nabi Ibrahim a.s telah bermimpi menyembelih anaknya, dimana telah ditetapkan bahawa mimpi para Nabi adalah Wahyu. Ini merupakan ujian yang besar daripada Allah s.w.t terhadap Nabi Ibrahim a.s sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu." Lalu Nabi Ismail a.s menjawab sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah engkau akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar. Dikatakan kedua-duanya telah berserah diri sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah s.w.t. itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami). Setelah kedua-duanya berserah diri untuk menjalankan perintah Allahs.w.t. dan berazam dengan bersungguh-sungguh, Allah s.w.t telah menyeru dan memberikan khabar yang mengembirakan melalui Malaikat. Sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu, demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian, salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha melakukan kebaikan, sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

Setelah tercapai maksud ujian terhadap Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s serta mereka berdua bersegera untuk menunaikan perintah Allah s.w.t lalu Allah Taala mengantikan dengan seekor kibas putih yang mempunyai mata dan tanduk yang sempurna sebagai tebusan daripada menyembelih anaknya. Nabi Ibrahim a.s mendapati kibas tersebut terikat di sebatang pokok berhampiran bukit Thabir lalu menyembelihnya di Mina. Tempat ini telah dijadikan sebagai tempat mengerjakan ibadat Haji dan sunat berkorban bersempena dari peristiwa Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s serta berterusan sehingga kepada nabi kita Nabi Muhammad s.a.w

Meninggikan Asas (Tapak)
1. Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s telah pergi ke Mekah untuk menunaikan perintah Allah s.w.t supaya membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail a.s: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memerintahkan aku dengan satu perkara" Lalu Nabi Ismail a.s berkata: "Lakukanlah apa yang telah diperintahkan Allah s.w.t. kepada kamu" Nabi Ibrahim a.s bertanya: "Adakah kamu akan menolongku?" Nabi Ismail a.s menjawab: "Aku akan menolongmu" Lalu beliau berkata: "Sesungguhnya Allah s.w.t. memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di sana, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya." Mereka berdua mendirikan tapak asas Baitullah di kawasan tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s membinanya. Apabila binaan tersebut telah tinggi, Nabi Ismail a.s membawa sebuah batu dan meletakkannya di samping Nabi Ibrahim a.s. Beliau berdiri di atas batu tersebut semasa meneruskan pembinaan manakala Nabi Ismail a.s menghulurkan ketulan batu, di samping itu mereka berdoa sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami) sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa mereka) dari (syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."
Sehinggalah Allah s.w.t. menyempurnakan pembinaan Baitullah (Kaabah) tersebut kepada mereka berdua.
2. Tidak terdapat riwayat sahih yang menyatakan Baitullah telahpun dibina sebelum Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s. Sesiapa yang berpegang kepada firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Baitullah (untuk membinanya), ataupun Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu."
Maksud yang dikehendaki pada ayat-ayat tersebut ialah tempat pembinaan Kaabah tersebut telahpun tetap dalam pengetahuan Allah s.w.t. semenjak menciptakan langit dan bumi. Ini menunjukkan tempat pembinaan Kaabah itu telahpun dimaklumi, manakala pembinaan Baitullah pula telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim Al-Khalil dan anaknya Nabi Ismail a.s. Khabar-khabar yang menyatakan Baitullah telah dibina sebelum Nabi Ibrahim a.s adalah diriwayatkan daripada Bani Israil, kita tidak boleh membenarkannya dan mendustakannya, hanya Allah s.w.t. sahaja Yang Maha Mengetahui.

3. Ketika Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah tersebut beliau menjadikan:
* Tingginya sembilan hasta.
* Panjang di paras bumi dari Hajarulaswad hingga ke penjuru sebelah Syam adalah sepanjang 32 hasta.
* Lebar di sebelah bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat adalah seluas 22 hasta.
* Panjang di paras bumi bermula dari penjuru sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman adalah sepanjang 31 hasta
* Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarulaswad adalah seluas 20 hasta

Tiada ulasan:

Catat Ulasan