Sabtu, 27 Oktober 2012

PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH [BHG10]


Mekah - Saie:

Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M
Ketika mendaki bukit Safa Rasulullah s.a.w membaca: Yang bermaksud: "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah s.w.t.. Oleh itu sesiapa yang menunaikan ibadat Haji di Baitullah atau mengerjakan Umrah maka tidak menjadi kesalahan dia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya dan sesiapa yang sukarela mengerjakan perkara kebajikan maka sesungguhnya Allah Maha Memberi Balasan Pahala lagi Maha Mengetahui.
Kemudian Rasulullah s.a.w berkata: "Aku mulai sebagaimana yang telah dimulakan oleh Allah s.w.t." Kemudian Rasulullah s.a.w mendaki bukit Marwah. Setelah berada diatas bukit Marwah Rasulullah s.a.w mengadap kearah Kaabah dan memuji Allah s.w.t. sambil menyebut: Yang bermaksud: "Tiada Tuhan melainkan Allah dan hanya Allah jualah yang Maha Besar." Seterusnya Rasulullah s.a.w menyebut: Yang bermaksud: "Tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, Tuhan yang telah menepati segala janji-janjiNya, Tuhan yang telah menolong hambaNya dan menghancurkan segala musuh-musuh dengan keagunganNya."


Ketika bersaie Rasulullah s.a.w juga berkata: "Seseorang tidak akan mampu melintasi lembah ini melainkan dengan kekuatan." Kata-kata tersebut adalah untuk memberi semangat kepada orang ramai tentang perkara-perkara yang penting dan perlu dilakukan semasa bersaie kerana orang ramai bergantung kepada bimbingan Rasulullah s.a.w malah mereka sentiasa mengikuti Rasulullah s.a.w dari belakang. Rasulullah s.a.wbersaie sehingga kelihatan dua lutut kerana terlalu kuat berlari. Ketika berada di lembah antara Safa dan Marwah Rasulullah s.a.w membaca: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku, rahmatilah aku dan Engkaulah Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Pemurah."
Semasa orang ramai mengerumuni Rasulullah s.a.w, mereka berkata: "Ini dia Muhammad, menyebabkan tuan-tuan hamba juga keluar mengerumuni Rasulullah s.a.w." Rasulullah s.a.w tidak menolak orang ramai dengan kedua tangan Rasulullah s.a.w supaya mereka membuka jalan untuk keluar. Melihat keadaan orang ramai yang semakin bertambah mengerumuninya, Rasulullah s.a.w terus menunggang unta dan menyempurnakan Saie secara menunggang untanya yang bernama al-Qaswa'. Ada sahabat-sahabat yang melihat Rasulullah s.a.w berselimut dengan sehelai kain buatan Najrani. Ketika Nabi Muhammad s.a.w berada di atas bukit Marwah Baginda s.a.w. menghadap ke arah Kaabah, bertakbir kepada Allah s.w.t. dan melakukan sebagaimana yang telah dilakukan semasa berada di atas bukit Safa.

Mekah - Perintah Pembatalan:

Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M
1. Ketika berada di Saraf, Rasulullah s.a.w memberi pilihan kepada para sahabat yang ingin menukar niat Haji kepada Umrah dan setelah selesai bersaie Baginda s.a.w. menyuruh para sahabat bertahallul seterusnya membenarkan para sahabat melakukan semua perkara yang ditegah semasa berihram seperti: Bersetubuh dengan Isteri, memakai bau-bauan, memakai pakaian berjahit serta membenarkan mereka berada dalam keadaan demikian sehingga ke hari Tarwiah iaitu hari kelapan Zulhijah.
2. Mendengar sabda Baginda s.a.w. tersebut, ramai dari kalangan sahabat yang bertahallul. Walau bagaimanapun pada waktu itu Rasulullah s.a.w tidak bertahallul disebabkan oleh binatang Dam yang Baginda s.a.w. bawa sejak dari Madinah lagi, begitu juga dengan para sahabat yang mempunyai Dam seperti Abu Bakar, Umar, Talhah dan az-Zubair r.a.
3. Demikian juga dengan isteri-isteri Baginda s.a.w., mereka semua bertahallul kecuali Aisyah kerana beliau datang haid sebelum selesai mengerjakan ibadat Umrah. Disebabkan keadaannya yang demikianlah Aisyah terhalang dari bertahallul. Fatimah puteri Rasulullah s.a.w juga bertahallul kerana tidak mempunyai binatang Dam.
4. Saidina Ali bin Abi Talib pulang dari Yaman dengan membawa binatang Dam lalu terlihat Fatimah r.a yang pada ketika itu telah bertahallul, memakai pakaian yang bercorak serta bercelak mata. Tindakan ini ditegur oleh Saidina Ali bin Abu Talib namun Saidatina Fatimah menjawab: "Ayahku menyuruhku berbuat begini."
5. Tanpa membuang masa Saidina Ali bin Abu Talib terus bertanya Rasulullah s.a.w lalu Baginda s.a.w. menjawab: "Dia benar, dia benar. Aku yang menyuruhnya berbuat demikian."
6. Saidina Ali berniat Ihram Haji dari Yaman dengan berkata: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, aku berniat Ihram sebagaimana RasulMu berniat Ihram."
7. Abu Musa al-Asy'ari adalah di antara sahabat yang tiba bersama-sama rombongan Saidina Ali dari Yaman tetapi beliau tidak membawa binatang Dam. Oleh itu Nabi Muhammad s.a.w menyuruh agar beliau bertahallul selepas melakukan Tawaf Umrah dan bersaie, dengan demikian bertukarlah Hajinya kepada Umrah serta jadilah Hajinya sebagai Haji Tamattu'.
Mekah - Khutbah Di Mekah:

Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M
1.  Rasulullah s.a.w telah diberitahu bahawa satu kaum berkata: "Kami telah sampai untuk menunaikan ibadat Haji tanpa diiringi dengan perkara lain. Apabila kami tiba, kami telah diperintahkan untuk mengerjakan ibadat Umrah, lalu kami bertahallul untuk menggauli isteri-isteri kami. Salah seorang dari kalangan kami pergi ke Mina dalam keadaan berjunub."
2.
Setelah Rasulullah s.a.w mendengar berita tersebut dan selesai bersaie, Baginda s.a.w. terus bangun menyampaikan khutbah kepada manusia dengan bersabda: "Aku telah diberitahu bahawa satu kaum berkata begitu dan begini. Demi Allah! Sesungguhnya akulah orang yang lebih baik dan lebih bertaqwa daripada mereka, sekiranya aku tidak terlanjur (mengikut riwayat yang lain, wahai manusia! Sekiranya aku tidak terlanjur) membawa binatang Dam, tentu tidak terjadi begini dan sekiranya aku tahu bahawa urusanku akan terjadi begini tentu aku tidak membawa binatang Dam untuk di sembelih kerana aku akan menjadikannya Umrah. Oleh itu sesiapa yang tidak mempunyai binatang Dam, hendaklah dia bertahallul dan menjadikannya ibadat Umrah". Setelah itu seluruh manusia berlahallul.

3.
Lalu Suraqah bin Malik bin Ja'tham yang berada di bawah Wadi berkata: "Wahai Rasulullah! Adakah Haji diwajibkan pada tahun ini sahaja atau untuk selama-lamanya? Nabi Muhammad s.a.w bersabda sambil merapatkan kedua tangannya: "Untuk selama-lamanya, untuk selama-lamanya, untuk selama-lamanya." Kemudian Baginda s.a.w. bersabda: "Ibadat Umrah telah dimasukkan ke dalam ibadat Haji sehingga Hari Kiamat."

4.
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: "Kami tiba bersama Rasululluh s.a.w pada hari keempat bulan Zulhijah dalam keadaan berihram untuk mengerjakan ibadat Haji lalu kami diperintahkan untuk menjadikannya Umrah. Perintah tersebut begitu susah dan berat untuk kami menerimanya sehingga perkara tersebut sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad s.a.w. Lalu Nabi Muhammad s.a.w.bersabda: "Wahai manusia! Kamu semua bertahallullah. Sekiranya tidak kerana binatang Dam yang ada bersamaku nescaya aku juga akan lakukan sebagaimana yang kamu lakukan". Mendengar sabda Nabi Muhammad s.a.w., kami terus bertahallul sehingga kami dapat menggauli isteri-isteri kami sebagaimana biasa."

5.  Apabila tiba hari Tarwiah (hari kelapan Zulhijah), kami keluar dari Mekah dan terus berniat Ihram Haji.
Mekah - Tinggal Di Mekah:

Khamis 8-12-10 H 5-3-632 M
1. Setelah selesai bersaie di antara Safa dan Marwah, Nabi Muhammad s.a.w. berjalan-jalan bersama orang ramai sehinggalah sampai di Abtah, suatu tempat di timur Mekah. Nabi Muhammad s.a.w. tinggal di khemah merah dan menetap di sana pada hari Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu sehinggalah selesai sembahyang subuh pada hari Khamis.
2. Sepanjang tempoh Rasulullah s.a.w menetap di Abtah bersama para sahabat, Nabi Muhammad s.a.w. mendirikan sembahyang Zuhur, Asar dan Isyak bersama mereka secara qasar dan tidak kembali ke Kaabah sepanjang hari-hari tersebut.
3. Sebelum sembahyang, Bilal r.a melaungkan azan kemudian memacakkan tongkat dari arah kiblat seterusnya meletak kulit kambing di atasnya. Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang mengimami orang ramai secara menghadap ke arah tersebut. Ketika sedang sembahyang, anjing dan kaldai melintas dari belakang kulit kambing tersebut.
4. Kemudian orang ramai bangun lalu menyapu muka mereka dengan menggunakan tangan Nabi Muhammad s.a.w. Salah seorang sahabat berkata: "Aku telah mengambil tangan Nabi Muhammad s.a.w. seterusnya menyapu ke mukaku. Aku dapati ia lebih sejuk dari salji dan lebih harum dari kasturi."
Haji Wida' > Mina (Tarwiah)

Khamis 8-12-10 H 5-3-632 M

1.  Sehari sebelum tiba hari Tarwiah (hari kelapan Zulhijah),  Nabi Muhammad s.a.w.  telah berkhutbah di Mekah selepas masuk waktu Zuhur.

2.  Pada pagi hari Khamis,  Nabi Muhammad s.a.w. beredar ke Mina dengan diiringi oleh umat Islam. Para sahabat yang telah bertahallul selepas mengerjakan Umrah, mula berihram kembali untuk mengerjakan ibadat Haji. Namun begitu bukanlah bererti mereka berihram di dalam Masjidil Haram tetapi sebenarnya mereka berihram di luar Kota Mekah.

3.  Sebaik sahaja tiba di Mina, mereka berhenti untuk sembahyang Zuhur dan Asar. Mereka bermalam di sana pada malam Jumaat. Setelah sembahyang Subuh, mereka menunggu seketika sehingga terbit matahari kemudian Rasulullah s.a.w meneruskan lagi perjalanan dari Mina ke Arafah. Ketika unta tunggangan  Nabi Muhammad s.a.w. yang beralaskan kain baldu bangkit bersedia untuk bertolak  Nabi Muhammad s.a.w.  menyebut kata-kata yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, jadikanlah ia Haji yang diterima, tiada padanya perasaan untuk menunjuk-nunjuk dan untuk membangga diri."

4.   Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan jalan yang belum pernah dilalui oleh orang ramai dan kini ia terletak di sebelah kanan jalan menuju ke Mina Sebahagian dari para sahabat bertalbiah dan sebahagian yang lain bertakbir. Nabi s.a.w mendengar perkara tersebut tetapi baginda tidak mengingkari mereka.

Haji Wida' > Arafah

Arafah - Khutbah Arafah:
Jumaat 9-12-10 H 6-3-632 M

1.  Pada zaman jahiliah, kaum Quraisy berhenti wuquf di Masy'arilharam. Ketika Rasulullah s.a.w bertolak dari Mina menuju ke Namirah, Rasulullah s.a.w mendapati khemah telah siap didirikan sebagaimana yang Rasulullah s.a.w perintahkannya lalu berhenti di situ. Apabila matahari terbenam, Rasulullah s.a.w meminta para sahabat supaya mengambil unta yang bernama Al-Qaswa' lalu meneruskan perjalanan sehinggalah sampai di lembah wadi tanah Arafah. Rasulullah s.a.w  berdiri di atas tanah tinggi Arafah lalu bersabda yang bermaksud: "Setiap kawasan Arafah adalah tempat wuquf kecuali Wadi Uranah."

2.  Rasulullah s.a.w telah meminta seorang lelaki bersuara nyaring yang bergelar Rabiah bin Umayyah bin Khalaf al-Jamhi supaya mengulang-ulang apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w agar orang ramai dapat mendengarnya. Ketika itu Rabiah berdiri di bawah leher unta Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: (Laungkan kepada orang ramai) dan katakan yang bermaksud: "Wahai manusia! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: "Adakah kamu mengetahui bulan apakah sekarang ini? Begitulah seterusnya sehingga berakhir khutbah Rasulullah s.a.w".

3.  Sebelum sembahyang Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada orang ramai sambil berada di atas tungganganya dengan bersabda selepas mengucap puji-pujian kepada Allah s.w.t.: "Wahai manusia! Sesungguhnya darah dan harta kamu diharamkan kepada kamu sebagaimana diharamkannya pada hari ini, bulan ini dan tempat ini. Sesungguhnya kamu akan bertemu Tuhan kamu untuk dipersoalkan mengenai amalan-amalan kamu. Sesungguhnya aku telah menyampaikan.

4.  Sesiapa yang diserahkan kepadanya amanah, hendaklah ditunaikan amanah tersebut. Bukankah semua perkara tersebut amalan jahiliah yang dilakukannya di sini begitu juga dengan korban jahiliah turut dilakukan di sini. Sesungguhnya Dam pertama yang berlaku ialah Dam Rabiah (dalam riwayat lain: Dam Ibnu Rabiah) bin Al-Haris bin Abdul Muttalib, ketika itu beliau sedang disusukan di perkampungan Bani Saad, lalu dibunuh oleh Huzail. Setiap riba adalah ditolak dan bagi kamu modal harta kamu. Oleh itu janganlah kamu zalim menzalimi antara satu sama lain kerana Allah s.w.t. telah memutus bahawa tidak ada riba. Sesungguhnya riba yang pertama ialah riba yang dilakukan oleh al-Abbas bin Abdul Muttalib, kesemuanya itu ditolak.

5.  Wahai manusia! Sesungguhnya Syaitan telah putus asa untuk beribadat di atas muka bumi ini buat selama-lamanya, tetapi apa yang dia inginkan ialah keburukan-keburukan daripada amalan kamu. Oleh itu awasilah dia dari agamamu.

6.  Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambahkan kekufuran yang menyebabkan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada satu tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangannya. Mereka merendahkan-rendahkan apa yang diharamkan oleh Allah. Oleh sebab itulah mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya masa telah beredar seperti keadaan hari, kejadian langit dan bumi, setahun adalah dua belas bulan. Mengikut riwayat yang lain: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah s.w.t. adalah sebanyak dua belas bulan. Dari bulan-bulan tersebut ada empat bulan haram, tiga daripadanya berturut-turut iaitu: Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam, seterusnya bulan Rejab yang berada di antara bulan Jamadil Akhir dan Syaaban".

7.  Wahai manusia! Bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t. dan berpesanlah kepada perempuan-perempuan dengan kebaikan, sesungguhnya mereka di sisi kamu merupakan penolong, mereka tidak mempunyai sesuatu untuk diri mereka. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah s.w.t. dan kamu menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah s.w.t.. (Mengikut riwayat yang lain: Dengan kitab Allah s.w.t.). Mereka mempunyai kewajipan ke atas kamu dan kamu juga mempunyai kewajipan ke atas mereka. Kewajipan mereka ke atas kamu ialah tidak membiarkan seseorang yang kamu benci mengambil tempat kamu, kewajipan kamu juga tidak melakukan perkara-perkara yang keji secara nyata dan sekiranya mereka melakukan perkara tersebut sesungguhnya Allah s.w.t. memberi keizinan kepada kamu untuk meninggalkan mereka dari tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Sekiranya mereka berhenti dari melakukan perkara tersebut, kamu wajib memberikan kepada mereka nafkah dan pakaian dengan cara yang baik.

8.  Amatilah wahai manusia kata-kataku ini, sesungguhnya aku telah menyampaikan. Aku telah tinggalkan kepada kamu suatu perkara yang tidak akan menyesatkan kamu selepas daripadaku buat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, (mengikut riwayat yang lain: Dua perkara yang jelas) iaitu Kitab Allah s.w.t. dan Sunah NabiNya.

9.  Wahai manusia! Dengarlah kataku ini dan amatilah, kamu ketahui bahawa setiap orang Islam merupakan saudara kepada orang Islam yang lain dan sesungguhnya setiap orang Islam itu bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seseorang terhadap saudaranya kecuali apa yang diberinya dengan baik. Janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri. (Ketahuilah bahawa hati tidak boleh belot di atas tiga perkara: Ikhlas beramal kerana Allah s.w.t, menasihati para pimpinan dan tetap bersama dengan jemaah Islam. Sesungguhnya doa mereka sentiasa mengiringi mereka.).
Baginda s.a.w. menambah: (Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai matlamatnya nescaya Allah s.w.t. akan menjadikan kefakiran di hadapan kedua matanya serta Allah s.w.t melerai-leraikan ke atasnya hasil usahanya dan tidak akan berlaku sesuatu kecuali apa yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. baginya. Sesiapa yang berniat untuk akhirat, Allah s.w.t akan mengurniakan kekayaan di dalam hatinya dan akan memadai apa yang ada pada dirinya malah kekayaan dunia ini adalah merupakan suatu perkara yang hina baginya).

Baginda s.a.w. menambah lagi: "Sesungguhnya Allah s.w.t merahmati sesiapa yang mendengar perutusanku ini dan mengambil berat tentangnya sehinggalah disampaikan kepada orang lain." Berapa ramai pendokong ilmu fekah tetapi tidak dikira sebagai ahli fekah malah begitu ramai ahli fekah yang mengajar kepada orang yang lebih alim daripadanya.

10.  Orang yang paling tinggi dari kalangan kamu ialah orang yang memberi makan kepada mereka sebagaimana kamu makan dan memberikan pakaian kepada mereka sebagaimana kamu pakai. Sekiranya mereka datang kepada kamu dalam keadaan berdosa maka janganlah kamu menghalaunya sebaliknya ampunilah dia dan bersumpah setialah kamu wahai hamba Allah serta janganlah kamu menzalimi mereka.

11.  Aku mewasiatkan kepada kamu tentang jiran tetangga ... sehingga lebih dari itu, lalu kami katakan sesungguhnya dia akan mewarisi pusaka.

12.  Wahai manusia! Sesungguhnya Allah s.w.t telah menunaikan segala hak-hakNya. Dari itu kamu tidak harus mewasiatkan harta kepada waris, anak adalah dari perkahwinan yang sah dan penzina hendaklah direjam dengan batu. Sesiapa yang mendakwa orang lain sebagai ayahnya atau tunduk kepada bukan tuannya nescaya Allah s.w.t, para malaikat dan seluruh umat manusia akan melaknatnya. Allah s.w.t tidak akan menerima segala urusan dan keadilan daripadanya. Barang pinjaman mestilah dihantar pulang, pemberian pasti akan dibalas, hutang mestilah dibayar dan orang yang menjamin seseorang hendaklah menunaikan jaminannya

13.  Sesungguhnya orang kafir penyembah berhala berkumpul di sini ketika matahari terbenam sehingga matahari naik (berada di puncak bukit) seperti serban seorang lelaki yang dipakai di kepalanya. Ajaran kami berbeza dengan ajaran mereka, mereka bertolak dari Masy'arilharam ketika matahari naik lalu mereka menyebut: Telah bersinar bukit Thubair (sebuah bukit yang terletak di Mekah) supaya kita dapat bergerak. Allah s.w.t telah memulakan perkara ini dan melewatkan perkara yang lain iaitu mendahulukan Muzdalifah sebelum matahari naik dan melewatkan Arafah sehingga matahari terbenam sedangkan kita berkumpul di Muzdalifah sehingga matahari naik. Syariat kami bercanggah dengan ajaran penyembah berhala dan orang-orang kafir.

14.  Kamu akan ditanya mengenaiku, apakah yang akan kamu jawab? Mereka menjawab: "Kami bersaksi bahawa kamu telah menyampaikan, telah menunaikan amanah dan telah menasihatkan kami." Kemudian Nabi Muhammad s.a.w bersabda sambil tangannya di angkat ke langit membalas kata-kata orang ramai yang bermaksud: "Ya Allah saksikanlah, Ya Allah saksikanlah, Ya Allah saksikanlah"

-

Setelah Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbah Arafah, Bilal terus azan untuk sembahyang kemudian iqamat lalu Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang Zuhur dua rakaat, seterusnya diiqamatkan lalu terus mendirikan sembahyang Asar dua rakaat, tanpa menyelangi di antara keduanya dengan sembahyang lain malah Rasulullah s.a.w membaca ayat-ayat al-Quran dengan suara perlahan..

- Seterusnya Rasulullah s.a.w menunggang untanya sehingga sampai ke tempat wuquf kemudian memberhentikan unta tunggangan  Rasulullah s.a.w yang bernama al-Qaswa' di hadapan bukit al-Masyat secara menghadap ke arah kiblat.
Arafah - Wuquf Di Arafah:



Sabtu 10-12-10 H 7-3-632 M
1. Kemudian Rasulullah s.a.w bertolak untuk berkorban di Mina dan memberitahu kepada para sahabat bahawa seluruh kawasan Mina merupakan tempat untuk berkorban. Lorong-lorong di Mekah juga merupakan jalan dan tempat berkorban. Rasulullah s.a.w sendiri telah menyembelih enam puluh tiga ekor badanah (unta atau lembu) dengan menggunakan pisau yang biasa baginda gunakan. Unta disembelih dalam keadaan berdiri secara kaki kirinya diikat. Bilangan unta yang disembelih oleh Rasulullah s.a.w sama jumlahnya dengan umur Rasulullah s.a.w.
2.
Kemudian Rasulullah s.a.w. berhenti dari menyembelih dan memerintahkan Ali bin Abu Talib r.a menyembelih binatang yang masih berbaki sebanyak tiga puluh tujuh ekor. Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya disedekahkan pakaian unta, kulit dan dagingnya kepada golongan miskin. Rasulullah s.a.w. juga memerintahkan supaya daging korban tidak diberi kepada penyembelih. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kami akan berikan kepada penyembelih dari bahagian kami." Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Sesiapa yang ingin potong, potonglah".

3.  Kemudian Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya setiap binatang korban dibahagikan dan sebahagian daripadanya dimasukkan ke dalam periuk untuk dimasak, dimakan dagingnya serta dihirup kuahnya. Wallahu A'lam.
4.  Rasulullah s.a.w. telah mengorbankan lembu untuk isteri-isteri Rasulullah s.a.w..
5. Rasulullah s.a.w telah ditanya oleh para sahabat untuk membina sebuah peneduh di Mina yang boleh memayungi Rasulullah s.a.w. dari panas. menjawab: "Jangan. Mina adalah tempat untuk pengunjungnya merasai panas dan sejuk."
Mina (Korban) - Bercukur:

Sabtu 10-12-10 H 7-3-632 M
1. Selepas berkorban, Rasulullah s.a.w memanggil tukang cukur yang bernama Muammar lalu beliau mencukur rambut Rasulullah s.a.w. Ketika itu umat Islam datang meminta rambut Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w memandang muka beliau lalu bersabda: "Wahai Muammar! Kamu boleh melakukan apa sahaja kepada Rasulullah ketika pisau cukur ada di tanganmu." Muammar menjawab: "Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhnya yang demikian itu adalah nikmat dan kurniaan Allah s.w.t. kepadaku." Rasulullah s.a.w berkata kepada tukang cukur: "Cukurlah." Sambil menunjuk pada bahagian kanan. Setelah selesai, Rasulullah s.a.w membahagikan rambut kepada sahabat yang berada di belakangnya. Kemudian Rasulullah s.a.w menunjuk kepada tukang cukur, lalu dicukur pula pada bahagian kiri kepala Rasulullah s.a.w. Selepas itu Rasulullah s.a.w bersabda: "Datang ke sini wahai Abu Talhah!." Lalu Rasulullah s.a.w menyerahkan rambutnya kepada Abu Talhah Al-Ansari untuk dibahagikan kepada orang ramai.
2. Setelah Rasulullah s.a.w selesai bercukur rambut, memotong misai dan jambang serta mengerat kuku, Rasulullah s.a.w memerintahkan agar rambut dan kuku tersebut ditanam.
3. KetikaRasulullah s.a.w sedang bercukur, Khalid bin Al-Walid meminta jambul yang berada di atas dahi baginda lalu diberikan kepadanya. Khalid meletakkan rambut tersebut di bahagian hadapan serban beliau sebagai perhiasan sehingga beliau berjaya mengalahkan musuh dengan keberkatan jambul tersebut.
4. Kebanyakan sahabat mencukur rambut dan sesetengah mereka pula hanya menggunting sahaja. Rasulullah s.a.w telah bersabda: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Ampunilah mereka yang bercukur." Selepas diulang tiga kali, Rasulullah s.a.w ditanya: "Bagaimana dengan orang yang berguting wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w terus bersabda: "Juga kepada orang yang bergunting". Iaitu pada kali keempat.
5. Setelah Rasulullah s.a.w selesai bercukur, Rasulullah s.a.w memakai wangi-wangian serta memakai baju. Seterusnya orang ramai pun bertahallul.
6.
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: "Aku telah bercukur sebelum menyembelih." Rasulullah s.a.w bersabda: "Sembelihlah, jangan ragu-ragu". Kemudian seorang lelaki lain datang menemui Rasulullah s.a.w lalu bertanya: "Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan Tawaf Ifadhah sebelum menyembelih." Rasulullah s.a.w bersabda: "Bercukurlah, jangan ragu-ragu". Kesemua soalan yang di kemukakan kepada Rasulullah s.a.w pada hari itu, Rasulullah s.a.w hanya menjawab: "Lakukanlah dan jangan ragu-ragu".

7. Kemudian Rasulullah s.a.w mengutuskan Abdullah bin Huzafah As-Sahmi, dalam riwayat lain Kaab bin Malik untuk memberitahu kepada orang ramai di Mina bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Sesungguhnya hari ini adalah hari untuk makan, minum, berkahwin dan mengingati Allah s.w.t".
Haji Wida' > Masjidilharam

Masjidilharam: Tawaf Ifadhah
Sabtu 10-12-10 H 7-3-632 M

1.  Seterusnya Rasulullah s.a.w bertolak ke Mekah sebelum waktu Zuhur dengan menunggang unta serta diiringi oleh Muawiyah bin Abi Sufian yang mengikuti Rasulullah s.a.w dari Mina hingga ke Mekah. Kemudian Rasulullah s.a.w melakukan Tawaf Ifadhah iaitu Tawaf ziarah yang dikenali juga dengan Tawaf permulaan.

2.  Rasulullah s.a.w melakukan Tawaf di Baitullah ketika Haji Wida' secara menunggang unta dan beristilam iaitu melambai Rukun (Hajarulaswad) dengan menggunakan tongkat baginda sehingga dapat dilihat oleh orang ramai. Mereka bersesak-sesak mengerumuni baginda untuk bertanyakan urusan agama.

3.   Rasulullah s.a.w bersembahyang Zuhur di Mekah, kemudian kembali ke Mina dan mendapati orang ramai sedang menunggu Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w mengimami para sahabat menunaikan sembahyang di Mina pada akhir waktu Zuhur.

4.  Rasulullah s.a.w bermalam di Mina pada malam Ahad kerana menunggu hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah).

5.   Setelah selesai melakukan Tawaf,  Rasulullah s.a.w pergi ke telaga Zamzam. Ketika itu orang ramai sedang minum. Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai anak Abdul Muttalib! Jika bukan kerana orang ramai berebut-rebut (untuk menjaga timba), nescaya aku akan turun dan minum bersama-sama kamu".

6.  Kemudian Rasulullah s.a.w pergi ke tempat air lalu meminta air. Al-Abbas berkata: "Wahai Fadli! Pergilah menemui emak kamu agar dia bawakan air yang ada padanya untuk Rasulullah s.a.w." Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Bawakan air kepadaku." Emak Fadli berkata: "Wahai Rasulullah! Mereka telah mencelup tangan mereka ke dalam air tersebut." Rasulullah s.a.w bersabda: "Bawakan air kepadaku (yang diminum oleh orang ramai)." Rasulullah s.a.w terus meminum air tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w pergi ke telaga Zamzam lalu minum dalam keadaan berdiri.

-  Saidatina Aisyah r.a melakukan sekali Tawaf dan sekali Saie sahaja pada hari itu. Memadailah untuk ibadat Haji dan Umrah beliau.
-  Safiah r.a juga melakukan Tawaf pada hari itu, kemudian beliau didatangi haid. Rasulullah s.a.w bersabda: "Memadailah baginya Tawaf tersebut sebagai Tawaf Wida' dan tidak perlu lagi melakukan Tawaf Wida'."
Haji Wida' > Mina


Tiada ulasan:

Catat Ulasan