"Happiness cannot be traveled to, owned, earned, or worn. It is the spiritual experience of living every minute with love, grace & gratitude.” - Denis Waitley
Sabtu, 27 Oktober 2012
PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH [BHG11] [LAST]
Mina - Melontar Jamrah:
Ahad 11-12-10 H 8-3-632 M
1. Rasulullah s.a.w awal-awal lagi berada di Mina menunggu matahari gelincir. Apabila matahari telah gelincir, Rasulullah s.a.w berjalan kaki membawa tunggangan Rasulullah s.a.w ke setiap Jamrah tanpa menaikinya.
2. Rasulullah s.a.w memulakan lontaran di Jamrah al-Ula yang terletak selepas Masjid Khaif dengan tujuh biji batu, satu demi satu. Rasulullah s.a.w mengucapkan "Allah hu akbar" bersama setiap lontaran. Kemudian Rasulullah s.a.w mara ke hadapan sehingga tiba di lembah yang lebih rendah, Rasulullah s.a.w berdiri dengan menghadap ke arah kiblat. Seterusnya Rasulullah s.a.w mengangkat tangan lalu berdoa dengan doa yang panjang. Panjangnya umpama kadar bacaan surah al-Baqarah.
3. Kemudian Rasulullah s.a.w menuju ke Jamrah al-Wusta dan melontar sebagaimana sebelumnya. Setelah selesai Rasulullah s.a.w membelok ke sebelah kiri iaitu ke kawasan selepas al-Wada' lalu berhenti dengan menghadap ke arah Kiblat dan berdoa hampir sama panjang dengan doa
4. Seterusnya Rasulullah s.a.w menuju ke Jamrah Aqabah lalu turun ke lembah dengan menghadap ke arah Jamrah dimana Baitullah berada di sebelah kiri Rasulullah s.a.w dan Mina di sebelah kanan Rasulullah s.a.w . Rasulullah s.a.w melontar sebanyak tujuh lontaran sebagaimana tadi.
5. Kebiasaannya Rasulullah s.a.w melontar sebelum sembahyang Zuhur, selepas daripada gelincir matahari, kemudian barulah Rasulullah s.a.w pulang menunaikan sembahyang (Zuhur).
Keterangan:
1. Rasulullah s.a.w telah melontar pada setiap Jamrah: Sughra, Wusta dan Aqabah.
2. Diriwayatkan bahawa surah an-Nasr telah diturunkan kepada Rasulullah s.a.w pada hari tersebut dan Rasulullah s.a.w tahu bahawa ia merupakan Wida' (selamat tinggal). Lalu Rasulullah s.a.w meminta sahabat supaya mengambil unta tunggangannya yang bernama al-Qaswa'. Setelah unta diambil, baginda terus beredar sehinggalah sampai di Jamrah Aqabah lalu orang ramai berkumpul mengelilingi Rasulullah s.a.w . Rasulullah s.a.w memuji Allah s.w.t dan mensyukuri apa yang telah dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w kemudian bersabda: "Wahai manusia! Bukankah Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Bukankah ayah kamu adalah satu. Bukankah tiada perbezaan di antara bangsa Arab dengan orang Ajam (asing) dan tiada perbezaan di antara orang Ajam (asing) dengan orang Arab, juga tiada perbezaan di antara yang berkulit hitam dari yang berkulit merah dan yang berkulit merah dengan yang berkulit hitam melainkan dengan taqwa." Sesungguhnya golongan yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang paling bertaqwa. Bukankah aku telah sampaikan kepada kamu?. Mereka semua menjawab: "Bahkan Rasulullah s.a.w telah menyampaikan." Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Hendaklah orang yang hadir memberitahu kepada orang yang tidak hadir dan berapa ramai orang yang menyampaikan lebih mengambil berat daripada pendengar."
3. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai Manusia!" Lalu Rasulullah s.a.w membaca ayat al-Quran: Yang bermaksud: (Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (bulan Haram iaitu Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah) itu adalah menambahkan kekufuran. Disesatkan orang-orang yang kafir dengan perbuatan mengundur-undurkan itu. Mereka menghalalkannya setahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain agar mereka dapat menyesuaikan dengan bilangan yang Allah s.w.t. haramkannya lalu mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t.).
Bukankah masa telah beredar seperti keadaan hari Allah s.w.t. menjadikan langit dan bumi. Seterusnya baginda membaca firman Allah s.w.t.: Yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Haram. Itulah ketetapan ugama yang lurus. Maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam empat bulan tersebut.
Tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijah, Muharam serta Rejab yang dikenali dengan bulan mudharat iaitu bulan yang di antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban. Bagi setiap bulan ada dua puluh sembilan atau tiga puluh hari. Tidakkah aku telah sampaikan? Orang ramai menjawab: "Ya." Rasulullah s.a.w bersabda: "Saksikanlah wahai Tuhanku."
4.
Amru bin Yathribi bertanya: "Wahai Rasulullah! Apa pandangan kamu sekiranya aku berjumpa kambing-kambing sepupuku lalu aku ambil salah seekor darinya lalu memanfaatkannya." Rasulullah s.a.w bersabda: "Sekiranya kamu berjumpa binatang tersebut bersama dengan pisau menyembelih dan kayu untuk memasak di suatu kawasan padang pasir (kawasan yang sunyi), janganlah kamu mengusiknya."
5. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Wahai manusia! Sesungguhnya kamu mempunyai hak kewajipan terhadap perempuan-perempuan kamu dan mereka pula berkewajipan untuk menjaga diri masing-masing daripada disetubuhi oleh orang lain dan tidak membenarkan seseorang yang kamu benci memasuki rumah kamu melainkan dengan izin kamu. Sekiranya mereka (isteri) melakukan perkara tersebut, Allah s.w.t memberi keizinan kepada kamu untuk memisahkan mereka dari tempat tidur dan memukul mereka dengan pukulan yang tidak melukakan. Sekiranya mereka berhenti daripada melakukan perkara tersebut serta taat kepada kamu, kamu wajib memberi nafkah dan pakaian dengan cara baik. Sesungguhnya perempuan-perempuan yang ada di sisi kamu merupakan golongan yang lemah, tidak memiliki sesuatupun untuk diri mereka. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah s.w.t. dan menghalalkan hubungan (suami isteri) dengan kalimah Allah s.w.t.. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t. terhadap perempuan-perempuan dan berpesanlah kepada mereka dengan kebaikan. Bukankah aku telah sampaikan kepada kamu? Orang ramai menjawab: "Ya." Rasulullah s.a.w bersabda: "Saksikanlah wahai Tuhanku"
6. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai manusia! Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk menggoda kamu di tempat kamu ini tetapi dia telah redha kerana kamu mengikutnya dengan melakukan dosa yang keji. "Sesungguhnya setiap orang Islam merupakan saudara kepada orang Islam yang lain. Setiap orang Islam adalah bersaudara dan tidak dihalalkan (diharam) kepada mereka menumpahkan darah serta mengambil harta saudaranya kecuali dengan keizinan. Sesungguhnya aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t.. Apabila mereka mengucapkannya, darah dan harta mereka akan terselamat daripadaku kecuali dengan hak. Balasannya hanya terpulang kepada Allah.
Oleh yang demikian janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri. Jangan kamu kembali kepada kekufuran selepas kematianku dengan menzalimi antara satu sama lain. Sesungguhnya aku telah tinggalkan sesuatu yang tidak akan menyesatkan kamu selama-lamanya jika kamu berpandukannya iaitu: Kitab Allah s.w.t. Bukankah aku telah sampaikan kepada kamu? Orang ramai menjawab: "Ya." Baginda s.a.w bersabda: "Saksikanlah wahai Tuhanku."
1. Baginda s.a.w tidak segera menyempurnakan lontaran dalam masa dua hari sebaliknya Baginda s.a.w melewatkannya sehingga berjaya menyempurnakan lontaran pada ketiga-tiga hari Tasyrik. Selepas sembahyang Zuhur pada hari Selasa, Baginda s.a.w bertolak ke Muhassab iaitu Abtah yang dikenali juga dengan Khaif Bani Kinanah.
2. Baginda s.a.w telah mendapati Abu Rafi' telah membina sebuah khemah di sana (dengan taufik daripada Allah s.w.t.) tanpa diperintah oleh Rasulullah s.a.w untuk membinanya. Rasulullah s.a.w sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak seterusnya Baginda s.a.w tidur seketika.
3. Kemudian Rasulullah s.a.w menuju ke Mekah.
4.
Saidatina Aisyah r.a berkata: "Wahai Rasulullah! Orang ramai akan pulang dari mengerjakan Haji dan Umrah sedangkan aku akan pulang hanya dengan mengerjakan Haji." Rasulullah s.a.w bersabda: "Adakah kamu telah Tawaf pada malam kita sampai di Mekah?" Beliau menjawab:"Tidak." Baginda s.a.w. memanggil Abdul Rahman bin Abu Bakar lalu bersabda: "Keluarlah dengan kakak kamu dari Tanah Haram (ke Tan'im)." Baginda s.a.w. juga bersabda kepada Saidatina Aisyah r.a: "Pergilah bersama saudara kamu ke Tan'im dan niatlah Umrah, kemudian ingatlah tempat untuk bertemu. Selepas itu kamu berdua datanglah ke Muhassab. Saidatina Aisyah r.a berkata lagi: "Lalu dengan izin Allah s.a.w. aku dapat menunaikan Umrah. Kami selesai mengerjakan Tawaf pada pertengahan malam lalu terus menemui Baginda s.a.w. di Muhassab. Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Adakah kamu telah selesai?" Kami menjawab: "Ya." Lalu Baginda s.a.w. mengizinkan orang ramai bertolak
Mina - Hari-hari Tasyrik:
Ahad 11-12-10 H 8-3-632 M
1. Hari-hari Tasyrik ialah: Hari 11, 12 dan 13 Zulhijah. Jemaah Haji hendaklah bermalam di Mina pada hari-hari Tasyrik untuk melontar setiap Jamrah. Hari kesebelas bulan Zulhijah dinamakan hari Ru'us (kepala). Sebab digelar dengan nama tersebut ialah kerana mereka menyembelih pada Hari Raya Korban kemudian memasak kepala-kepala binatang sembelihan mereka pada malamnya dan makan pada waktu pagi.
2. Allah s.w.t menyebut hari-hari Tasyrik di dalam firmanNya: Yang bermaksud: Sesiapa yang tergesa-gesa (meninggalkan Mina) dalam masa dua hari, dia tidaklah berdosa dan sesiapa yang lewat (meninggalkan Mina), dia tidaklah berdosa dan tidak berdosa itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. Setiap orang Islam hendaklah bermalam di Mina pada ketiga-tiga hari Tasyrik atau sesiapa yang ingin mempercepatkannya dalam masa dua hari, tidak menjadi kesalahan kepadanya.
3. Rasulullah s.a.w bermalam di Mina pada ketiga-tiga hari Tasyrik tanpa mempercepatkannya (meninggalkan Mina). Baginda s.a.w. melontar setiap Jamrah tiga hari berturut-turut.
4.
Abbas, bapa saudara Baginda s.a.w. meminta izin untuk bermalam di Mekah pada malam-malam yang perlu bermalam di Mina kerana telah ditugaskan memberi minum kepada jemaah Haji, lalu Baginda s.a.w. mengizinkannya. Pengembala unta di Baitutah, kawasan luar Mina juga meminta izin daripada Baginda s.a.w.. Mereka diberi keringanan untuk melontar pada hari Raya Korban lalu mereka gabungkan lontaran yang perlu dibuat dalam masa dua hari selepas Hari Raya Korban kepada salah satu daripada hari tersebut sahaja.
Mina - Peristiwa Lain:
Ahad 11-12-10 H 8-3-632 M
1.
Saad bin Abi Waqqas telah ditimpa sakit lalu Nabi Muhammad s.a.w datang menziarahinya. Beliau berkata: "Wahai Rasulullah! Aku berada dalam kesakitan sebagaimana yang engkau lihat. Aku mempunyai harta tetapi tiada siapa yang akan mewarisi hartaku kecuali seorang anak perempuan. Adakah aku boleh menyedekahkan dua pertiga dari hartaku?" Nabi Muhammad s.a.w menjawab: "Tidak boleh." Aku bertanya: :"Bagaimana kalau separuh darinya?" Nabi Muhammad s.a.w menjawab: "Tidak boleh." Aku berkata lagi: "Bagaimana kalau satu pertiga darinya?" Baginda s.a.w. menjawab: "Satu pertiga, sedangkan satu pertiga adalah jumlah yang besar. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan pewaris kamu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa, mengemis kepada orang lain. Sesungguhnya jika kamu berbelanja hanya untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t, tentu kamu akan dibalas oleh Allah s.w.t walaupun apa yang disuap (dimakan) oleh isteri kamu." Beliau berkata: "Wahai Rasulullah! Adakah aku akan hidup selepas daripada sahabat-sahabatku?" Baginda s.a.w. menjawab: "Kamu tidak akan kekal (hidup), oleh itu kamu hendaklah melakukan amalan kebaikan kerana ia akan menambah kebajikan dan ketinggian kamu. Kemungkinan kamu akan kekal hidup selepas daripada mereka sehingga beberapa kaum mendapat manfaat dan mudharat daripada kamu. Wahai Tuhanku! Terimalah hijrah sahabat-sahabatku dan janganlah Engkau ketepikan mereka."
2.
Rasulullah s.a.w telah meninggalkan seorang lelaki bersama Saad bin Abi Waqqas lalu bersabda: "Sekiranya dia mati di Mekah, janganlah kamu kebumikannya di situ kerana beliau tidak suka mati di tempat yang pernah beliau berhijrah darinya."
Haji Wida' > Masjidilharam
Masjidilharam: Tawaf Wida'
Rabu 14-12-10 H 11-3-632 M
1. Rasulullah s.a.w telah memasuki Mekah pada waktu malam hampir dengan waktu sahur lalu melakukan Tawaf Wida' dengan berjalan kaki, tidak menunggang dan tidak pula berlari-lari pada Tawaf tersebut. Ini merupakan kali terakhir Rasulullah s.a.w berada di Baitul Atik (Kaabah).
2. Selepas itu Rasulullah s.a.w keluar dari Mekah, kemudian terus berjalan sehingga sampai di Muhassab lalu memberitahu para sahabat supaya berangkat pulang ke Madinah.
Haji Wida' > Madinah
Pulang Ke Madinah:
Rabu 14-12-10 H 11-3-632 M
Setelah melihat Kota Madinah, Baginda s.a.w. bertakbir tiga kali dengan ucapan: Yang bermaksud: "Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, baginya kerajaan, bagiNya segala kepujian dan Dia berkuasa ke atas sesuatu. Orang-orang yang kembali, orang yang beribadat dan orang yang sujud, tunduk kepada Tuhan kami. Allah Maha Menepati segala janji-janjiNya, memberi kemenangan kepada hambanya dan mengalahkan musuh dengan bersendirian. Wahai Tuhan kami, kami berlindung denganMu dari segala kesusahan dalam perjalanan, berpandangan buruk terhadap harta benda, keluarga dan anak-anak. Wahai Tuhan kami, sampaikan kami kepada kebaikan yang boleh membawa kepada keampunan dan keredhaanMu.
PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH [BHG10]
Mekah - Saie:
Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M
Ketika mendaki bukit Safa Rasulullah s.a.w membaca: Yang bermaksud: "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah s.w.t.. Oleh itu sesiapa yang menunaikan ibadat Haji di Baitullah atau mengerjakan Umrah maka tidak menjadi kesalahan dia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya dan sesiapa yang sukarela mengerjakan perkara kebajikan maka sesungguhnya Allah Maha Memberi Balasan Pahala lagi Maha Mengetahui.
Kemudian Rasulullah s.a.w berkata: "Aku mulai sebagaimana yang telah dimulakan oleh Allah s.w.t." Kemudian Rasulullah s.a.w mendaki bukit Marwah. Setelah berada diatas bukit Marwah Rasulullah s.a.w mengadap kearah Kaabah dan memuji Allah s.w.t. sambil menyebut: Yang bermaksud: "Tiada Tuhan melainkan Allah dan hanya Allah jualah yang Maha Besar." Seterusnya Rasulullah s.a.w menyebut: Yang bermaksud: "Tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, Tuhan yang telah menepati segala janji-janjiNya, Tuhan yang telah menolong hambaNya dan menghancurkan segala musuh-musuh dengan keagunganNya."
Ketika bersaie Rasulullah s.a.w juga berkata: "Seseorang tidak akan mampu melintasi lembah ini melainkan dengan kekuatan." Kata-kata tersebut adalah untuk memberi semangat kepada orang ramai tentang perkara-perkara yang penting dan perlu dilakukan semasa bersaie kerana orang ramai bergantung kepada bimbingan Rasulullah s.a.w malah mereka sentiasa mengikuti Rasulullah s.a.w dari belakang. Rasulullah s.a.wbersaie sehingga kelihatan dua lutut kerana terlalu kuat berlari. Ketika berada di lembah antara Safa dan Marwah Rasulullah s.a.w membaca: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku, rahmatilah aku dan Engkaulah Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Pemurah."
Semasa orang ramai mengerumuni Rasulullah s.a.w, mereka berkata: "Ini dia Muhammad, menyebabkan tuan-tuan hamba juga keluar mengerumuni Rasulullah s.a.w." Rasulullah s.a.w tidak menolak orang ramai dengan kedua tangan Rasulullah s.a.w supaya mereka membuka jalan untuk keluar. Melihat keadaan orang ramai yang semakin bertambah mengerumuninya, Rasulullah s.a.w terus menunggang unta dan menyempurnakan Saie secara menunggang untanya yang bernama al-Qaswa'. Ada sahabat-sahabat yang melihat Rasulullah s.a.w berselimut dengan sehelai kain buatan Najrani. Ketika Nabi Muhammad s.a.w berada di atas bukit Marwah Baginda s.a.w. menghadap ke arah Kaabah, bertakbir kepada Allah s.w.t. dan melakukan sebagaimana yang telah dilakukan semasa berada di atas bukit Safa.
Mekah - Perintah Pembatalan:
Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M
1. Ketika berada di Saraf, Rasulullah s.a.w memberi pilihan kepada para sahabat yang ingin menukar niat Haji kepada Umrah dan setelah selesai bersaie Baginda s.a.w. menyuruh para sahabat bertahallul seterusnya membenarkan para sahabat melakukan semua perkara yang ditegah semasa berihram seperti: Bersetubuh dengan Isteri, memakai bau-bauan, memakai pakaian berjahit serta membenarkan mereka berada dalam keadaan demikian sehingga ke hari Tarwiah iaitu hari kelapan Zulhijah.
2. Mendengar sabda Baginda s.a.w. tersebut, ramai dari kalangan sahabat yang bertahallul. Walau bagaimanapun pada waktu itu Rasulullah s.a.w tidak bertahallul disebabkan oleh binatang Dam yang Baginda s.a.w. bawa sejak dari Madinah lagi, begitu juga dengan para sahabat yang mempunyai Dam seperti Abu Bakar, Umar, Talhah dan az-Zubair r.a.
3. Demikian juga dengan isteri-isteri Baginda s.a.w., mereka semua bertahallul kecuali Aisyah kerana beliau datang haid sebelum selesai mengerjakan ibadat Umrah. Disebabkan keadaannya yang demikianlah Aisyah terhalang dari bertahallul. Fatimah puteri Rasulullah s.a.w juga bertahallul kerana tidak mempunyai binatang Dam.
4. Saidina Ali bin Abi Talib pulang dari Yaman dengan membawa binatang Dam lalu terlihat Fatimah r.a yang pada ketika itu telah bertahallul, memakai pakaian yang bercorak serta bercelak mata. Tindakan ini ditegur oleh Saidina Ali bin Abu Talib namun Saidatina Fatimah menjawab: "Ayahku menyuruhku berbuat begini."
5. Tanpa membuang masa Saidina Ali bin Abu Talib terus bertanya Rasulullah s.a.w lalu Baginda s.a.w. menjawab: "Dia benar, dia benar. Aku yang menyuruhnya berbuat demikian."
6. Saidina Ali berniat Ihram Haji dari Yaman dengan berkata: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, aku berniat Ihram sebagaimana RasulMu berniat Ihram."
7. Abu Musa al-Asy'ari adalah di antara sahabat yang tiba bersama-sama rombongan Saidina Ali dari Yaman tetapi beliau tidak membawa binatang Dam. Oleh itu Nabi Muhammad s.a.w menyuruh agar beliau bertahallul selepas melakukan Tawaf Umrah dan bersaie, dengan demikian bertukarlah Hajinya kepada Umrah serta jadilah Hajinya sebagai Haji Tamattu'.
Mekah - Khutbah Di Mekah:
Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M
1. Rasulullah s.a.w telah diberitahu bahawa satu kaum berkata: "Kami telah sampai untuk menunaikan ibadat Haji tanpa diiringi dengan perkara lain. Apabila kami tiba, kami telah diperintahkan untuk mengerjakan ibadat Umrah, lalu kami bertahallul untuk menggauli isteri-isteri kami. Salah seorang dari kalangan kami pergi ke Mina dalam keadaan berjunub."
2.
Setelah Rasulullah s.a.w mendengar berita tersebut dan selesai bersaie, Baginda s.a.w. terus bangun menyampaikan khutbah kepada manusia dengan bersabda: "Aku telah diberitahu bahawa satu kaum berkata begitu dan begini. Demi Allah! Sesungguhnya akulah orang yang lebih baik dan lebih bertaqwa daripada mereka, sekiranya aku tidak terlanjur (mengikut riwayat yang lain, wahai manusia! Sekiranya aku tidak terlanjur) membawa binatang Dam, tentu tidak terjadi begini dan sekiranya aku tahu bahawa urusanku akan terjadi begini tentu aku tidak membawa binatang Dam untuk di sembelih kerana aku akan menjadikannya Umrah. Oleh itu sesiapa yang tidak mempunyai binatang Dam, hendaklah dia bertahallul dan menjadikannya ibadat Umrah". Setelah itu seluruh manusia berlahallul.
3.
Lalu Suraqah bin Malik bin Ja'tham yang berada di bawah Wadi berkata: "Wahai Rasulullah! Adakah Haji diwajibkan pada tahun ini sahaja atau untuk selama-lamanya? Nabi Muhammad s.a.w bersabda sambil merapatkan kedua tangannya: "Untuk selama-lamanya, untuk selama-lamanya, untuk selama-lamanya." Kemudian Baginda s.a.w. bersabda: "Ibadat Umrah telah dimasukkan ke dalam ibadat Haji sehingga Hari Kiamat."
4.
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: "Kami tiba bersama Rasululluh s.a.w pada hari keempat bulan Zulhijah dalam keadaan berihram untuk mengerjakan ibadat Haji lalu kami diperintahkan untuk menjadikannya Umrah. Perintah tersebut begitu susah dan berat untuk kami menerimanya sehingga perkara tersebut sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad s.a.w. Lalu Nabi Muhammad s.a.w.bersabda: "Wahai manusia! Kamu semua bertahallullah. Sekiranya tidak kerana binatang Dam yang ada bersamaku nescaya aku juga akan lakukan sebagaimana yang kamu lakukan". Mendengar sabda Nabi Muhammad s.a.w., kami terus bertahallul sehingga kami dapat menggauli isteri-isteri kami sebagaimana biasa."
5. Apabila tiba hari Tarwiah (hari kelapan Zulhijah), kami keluar dari Mekah dan terus berniat Ihram Haji.
Mekah - Tinggal Di Mekah:
Khamis 8-12-10 H 5-3-632 M
1. Setelah selesai bersaie di antara Safa dan Marwah, Nabi Muhammad s.a.w. berjalan-jalan bersama orang ramai sehinggalah sampai di Abtah, suatu tempat di timur Mekah. Nabi Muhammad s.a.w. tinggal di khemah merah dan menetap di sana pada hari Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu sehinggalah selesai sembahyang subuh pada hari Khamis.
2. Sepanjang tempoh Rasulullah s.a.w menetap di Abtah bersama para sahabat, Nabi Muhammad s.a.w. mendirikan sembahyang Zuhur, Asar dan Isyak bersama mereka secara qasar dan tidak kembali ke Kaabah sepanjang hari-hari tersebut.
3. Sebelum sembahyang, Bilal r.a melaungkan azan kemudian memacakkan tongkat dari arah kiblat seterusnya meletak kulit kambing di atasnya. Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang mengimami orang ramai secara menghadap ke arah tersebut. Ketika sedang sembahyang, anjing dan kaldai melintas dari belakang kulit kambing tersebut.
4. Kemudian orang ramai bangun lalu menyapu muka mereka dengan menggunakan tangan Nabi Muhammad s.a.w. Salah seorang sahabat berkata: "Aku telah mengambil tangan Nabi Muhammad s.a.w. seterusnya menyapu ke mukaku. Aku dapati ia lebih sejuk dari salji dan lebih harum dari kasturi."
Haji Wida' > Mina (Tarwiah)
Khamis 8-12-10 H 5-3-632 M
1. Sehari sebelum tiba hari Tarwiah (hari kelapan Zulhijah), Nabi Muhammad s.a.w. telah berkhutbah di Mekah selepas masuk waktu Zuhur.
2. Pada pagi hari Khamis, Nabi Muhammad s.a.w. beredar ke Mina dengan diiringi oleh umat Islam. Para sahabat yang telah bertahallul selepas mengerjakan Umrah, mula berihram kembali untuk mengerjakan ibadat Haji. Namun begitu bukanlah bererti mereka berihram di dalam Masjidil Haram tetapi sebenarnya mereka berihram di luar Kota Mekah.
3. Sebaik sahaja tiba di Mina, mereka berhenti untuk sembahyang Zuhur dan Asar. Mereka bermalam di sana pada malam Jumaat. Setelah sembahyang Subuh, mereka menunggu seketika sehingga terbit matahari kemudian Rasulullah s.a.w meneruskan lagi perjalanan dari Mina ke Arafah. Ketika unta tunggangan Nabi Muhammad s.a.w. yang beralaskan kain baldu bangkit bersedia untuk bertolak Nabi Muhammad s.a.w. menyebut kata-kata yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, jadikanlah ia Haji yang diterima, tiada padanya perasaan untuk menunjuk-nunjuk dan untuk membangga diri."
4. Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan jalan yang belum pernah dilalui oleh orang ramai dan kini ia terletak di sebelah kanan jalan menuju ke Mina Sebahagian dari para sahabat bertalbiah dan sebahagian yang lain bertakbir. Nabi s.a.w mendengar perkara tersebut tetapi baginda tidak mengingkari mereka.
Haji Wida' > Arafah
Arafah - Khutbah Arafah:
Jumaat 9-12-10 H 6-3-632 M
1. Pada zaman jahiliah, kaum Quraisy berhenti wuquf di Masy'arilharam. Ketika Rasulullah s.a.w bertolak dari Mina menuju ke Namirah, Rasulullah s.a.w mendapati khemah telah siap didirikan sebagaimana yang Rasulullah s.a.w perintahkannya lalu berhenti di situ. Apabila matahari terbenam, Rasulullah s.a.w meminta para sahabat supaya mengambil unta yang bernama Al-Qaswa' lalu meneruskan perjalanan sehinggalah sampai di lembah wadi tanah Arafah. Rasulullah s.a.w berdiri di atas tanah tinggi Arafah lalu bersabda yang bermaksud: "Setiap kawasan Arafah adalah tempat wuquf kecuali Wadi Uranah."
2. Rasulullah s.a.w telah meminta seorang lelaki bersuara nyaring yang bergelar Rabiah bin Umayyah bin Khalaf al-Jamhi supaya mengulang-ulang apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w agar orang ramai dapat mendengarnya. Ketika itu Rabiah berdiri di bawah leher unta Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: (Laungkan kepada orang ramai) dan katakan yang bermaksud: "Wahai manusia! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: "Adakah kamu mengetahui bulan apakah sekarang ini? Begitulah seterusnya sehingga berakhir khutbah Rasulullah s.a.w".
3. Sebelum sembahyang Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada orang ramai sambil berada di atas tungganganya dengan bersabda selepas mengucap puji-pujian kepada Allah s.w.t.: "Wahai manusia! Sesungguhnya darah dan harta kamu diharamkan kepada kamu sebagaimana diharamkannya pada hari ini, bulan ini dan tempat ini. Sesungguhnya kamu akan bertemu Tuhan kamu untuk dipersoalkan mengenai amalan-amalan kamu. Sesungguhnya aku telah menyampaikan.
4. Sesiapa yang diserahkan kepadanya amanah, hendaklah ditunaikan amanah tersebut. Bukankah semua perkara tersebut amalan jahiliah yang dilakukannya di sini begitu juga dengan korban jahiliah turut dilakukan di sini. Sesungguhnya Dam pertama yang berlaku ialah Dam Rabiah (dalam riwayat lain: Dam Ibnu Rabiah) bin Al-Haris bin Abdul Muttalib, ketika itu beliau sedang disusukan di perkampungan Bani Saad, lalu dibunuh oleh Huzail. Setiap riba adalah ditolak dan bagi kamu modal harta kamu. Oleh itu janganlah kamu zalim menzalimi antara satu sama lain kerana Allah s.w.t. telah memutus bahawa tidak ada riba. Sesungguhnya riba yang pertama ialah riba yang dilakukan oleh al-Abbas bin Abdul Muttalib, kesemuanya itu ditolak.
5. Wahai manusia! Sesungguhnya Syaitan telah putus asa untuk beribadat di atas muka bumi ini buat selama-lamanya, tetapi apa yang dia inginkan ialah keburukan-keburukan daripada amalan kamu. Oleh itu awasilah dia dari agamamu.
6. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambahkan kekufuran yang menyebabkan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada satu tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangannya. Mereka merendahkan-rendahkan apa yang diharamkan oleh Allah. Oleh sebab itulah mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya masa telah beredar seperti keadaan hari, kejadian langit dan bumi, setahun adalah dua belas bulan. Mengikut riwayat yang lain: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah s.w.t. adalah sebanyak dua belas bulan. Dari bulan-bulan tersebut ada empat bulan haram, tiga daripadanya berturut-turut iaitu: Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam, seterusnya bulan Rejab yang berada di antara bulan Jamadil Akhir dan Syaaban".
7. Wahai manusia! Bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t. dan berpesanlah kepada perempuan-perempuan dengan kebaikan, sesungguhnya mereka di sisi kamu merupakan penolong, mereka tidak mempunyai sesuatu untuk diri mereka. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah s.w.t. dan kamu menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah s.w.t.. (Mengikut riwayat yang lain: Dengan kitab Allah s.w.t.). Mereka mempunyai kewajipan ke atas kamu dan kamu juga mempunyai kewajipan ke atas mereka. Kewajipan mereka ke atas kamu ialah tidak membiarkan seseorang yang kamu benci mengambil tempat kamu, kewajipan kamu juga tidak melakukan perkara-perkara yang keji secara nyata dan sekiranya mereka melakukan perkara tersebut sesungguhnya Allah s.w.t. memberi keizinan kepada kamu untuk meninggalkan mereka dari tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Sekiranya mereka berhenti dari melakukan perkara tersebut, kamu wajib memberikan kepada mereka nafkah dan pakaian dengan cara yang baik.
8. Amatilah wahai manusia kata-kataku ini, sesungguhnya aku telah menyampaikan. Aku telah tinggalkan kepada kamu suatu perkara yang tidak akan menyesatkan kamu selepas daripadaku buat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, (mengikut riwayat yang lain: Dua perkara yang jelas) iaitu Kitab Allah s.w.t. dan Sunah NabiNya.
9. Wahai manusia! Dengarlah kataku ini dan amatilah, kamu ketahui bahawa setiap orang Islam merupakan saudara kepada orang Islam yang lain dan sesungguhnya setiap orang Islam itu bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seseorang terhadap saudaranya kecuali apa yang diberinya dengan baik. Janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri. (Ketahuilah bahawa hati tidak boleh belot di atas tiga perkara: Ikhlas beramal kerana Allah s.w.t, menasihati para pimpinan dan tetap bersama dengan jemaah Islam. Sesungguhnya doa mereka sentiasa mengiringi mereka.).
Baginda s.a.w. menambah: (Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai matlamatnya nescaya Allah s.w.t. akan menjadikan kefakiran di hadapan kedua matanya serta Allah s.w.t melerai-leraikan ke atasnya hasil usahanya dan tidak akan berlaku sesuatu kecuali apa yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. baginya. Sesiapa yang berniat untuk akhirat, Allah s.w.t akan mengurniakan kekayaan di dalam hatinya dan akan memadai apa yang ada pada dirinya malah kekayaan dunia ini adalah merupakan suatu perkara yang hina baginya).
Baginda s.a.w. menambah lagi: "Sesungguhnya Allah s.w.t merahmati sesiapa yang mendengar perutusanku ini dan mengambil berat tentangnya sehinggalah disampaikan kepada orang lain." Berapa ramai pendokong ilmu fekah tetapi tidak dikira sebagai ahli fekah malah begitu ramai ahli fekah yang mengajar kepada orang yang lebih alim daripadanya.
10. Orang yang paling tinggi dari kalangan kamu ialah orang yang memberi makan kepada mereka sebagaimana kamu makan dan memberikan pakaian kepada mereka sebagaimana kamu pakai. Sekiranya mereka datang kepada kamu dalam keadaan berdosa maka janganlah kamu menghalaunya sebaliknya ampunilah dia dan bersumpah setialah kamu wahai hamba Allah serta janganlah kamu menzalimi mereka.
11. Aku mewasiatkan kepada kamu tentang jiran tetangga ... sehingga lebih dari itu, lalu kami katakan sesungguhnya dia akan mewarisi pusaka.
12. Wahai manusia! Sesungguhnya Allah s.w.t telah menunaikan segala hak-hakNya. Dari itu kamu tidak harus mewasiatkan harta kepada waris, anak adalah dari perkahwinan yang sah dan penzina hendaklah direjam dengan batu. Sesiapa yang mendakwa orang lain sebagai ayahnya atau tunduk kepada bukan tuannya nescaya Allah s.w.t, para malaikat dan seluruh umat manusia akan melaknatnya. Allah s.w.t tidak akan menerima segala urusan dan keadilan daripadanya. Barang pinjaman mestilah dihantar pulang, pemberian pasti akan dibalas, hutang mestilah dibayar dan orang yang menjamin seseorang hendaklah menunaikan jaminannya
13. Sesungguhnya orang kafir penyembah berhala berkumpul di sini ketika matahari terbenam sehingga matahari naik (berada di puncak bukit) seperti serban seorang lelaki yang dipakai di kepalanya. Ajaran kami berbeza dengan ajaran mereka, mereka bertolak dari Masy'arilharam ketika matahari naik lalu mereka menyebut: Telah bersinar bukit Thubair (sebuah bukit yang terletak di Mekah) supaya kita dapat bergerak. Allah s.w.t telah memulakan perkara ini dan melewatkan perkara yang lain iaitu mendahulukan Muzdalifah sebelum matahari naik dan melewatkan Arafah sehingga matahari terbenam sedangkan kita berkumpul di Muzdalifah sehingga matahari naik. Syariat kami bercanggah dengan ajaran penyembah berhala dan orang-orang kafir.
14. Kamu akan ditanya mengenaiku, apakah yang akan kamu jawab? Mereka menjawab: "Kami bersaksi bahawa kamu telah menyampaikan, telah menunaikan amanah dan telah menasihatkan kami." Kemudian Nabi Muhammad s.a.w bersabda sambil tangannya di angkat ke langit membalas kata-kata orang ramai yang bermaksud: "Ya Allah saksikanlah, Ya Allah saksikanlah, Ya Allah saksikanlah"
-
Setelah Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbah Arafah, Bilal terus azan untuk sembahyang kemudian iqamat lalu Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang Zuhur dua rakaat, seterusnya diiqamatkan lalu terus mendirikan sembahyang Asar dua rakaat, tanpa menyelangi di antara keduanya dengan sembahyang lain malah Rasulullah s.a.w membaca ayat-ayat al-Quran dengan suara perlahan..
- Seterusnya Rasulullah s.a.w menunggang untanya sehingga sampai ke tempat wuquf kemudian memberhentikan unta tunggangan Rasulullah s.a.w yang bernama al-Qaswa' di hadapan bukit al-Masyat secara menghadap ke arah kiblat.
Arafah - Wuquf Di Arafah:
Sabtu 10-12-10 H 7-3-632 M
1. Kemudian Rasulullah s.a.w bertolak untuk berkorban di Mina dan memberitahu kepada para sahabat bahawa seluruh kawasan Mina merupakan tempat untuk berkorban. Lorong-lorong di Mekah juga merupakan jalan dan tempat berkorban. Rasulullah s.a.w sendiri telah menyembelih enam puluh tiga ekor badanah (unta atau lembu) dengan menggunakan pisau yang biasa baginda gunakan. Unta disembelih dalam keadaan berdiri secara kaki kirinya diikat. Bilangan unta yang disembelih oleh Rasulullah s.a.w sama jumlahnya dengan umur Rasulullah s.a.w.
2.
Kemudian Rasulullah s.a.w. berhenti dari menyembelih dan memerintahkan Ali bin Abu Talib r.a menyembelih binatang yang masih berbaki sebanyak tiga puluh tujuh ekor. Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya disedekahkan pakaian unta, kulit dan dagingnya kepada golongan miskin. Rasulullah s.a.w. juga memerintahkan supaya daging korban tidak diberi kepada penyembelih. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kami akan berikan kepada penyembelih dari bahagian kami." Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Sesiapa yang ingin potong, potonglah".
3. Kemudian Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya setiap binatang korban dibahagikan dan sebahagian daripadanya dimasukkan ke dalam periuk untuk dimasak, dimakan dagingnya serta dihirup kuahnya. Wallahu A'lam.
4. Rasulullah s.a.w. telah mengorbankan lembu untuk isteri-isteri Rasulullah s.a.w..
5. Rasulullah s.a.w telah ditanya oleh para sahabat untuk membina sebuah peneduh di Mina yang boleh memayungi Rasulullah s.a.w. dari panas. menjawab: "Jangan. Mina adalah tempat untuk pengunjungnya merasai panas dan sejuk."
Mina (Korban) - Bercukur:
Sabtu 10-12-10 H 7-3-632 M
1. Selepas berkorban, Rasulullah s.a.w memanggil tukang cukur yang bernama Muammar lalu beliau mencukur rambut Rasulullah s.a.w. Ketika itu umat Islam datang meminta rambut Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w memandang muka beliau lalu bersabda: "Wahai Muammar! Kamu boleh melakukan apa sahaja kepada Rasulullah ketika pisau cukur ada di tanganmu." Muammar menjawab: "Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhnya yang demikian itu adalah nikmat dan kurniaan Allah s.w.t. kepadaku." Rasulullah s.a.w berkata kepada tukang cukur: "Cukurlah." Sambil menunjuk pada bahagian kanan. Setelah selesai, Rasulullah s.a.w membahagikan rambut kepada sahabat yang berada di belakangnya. Kemudian Rasulullah s.a.w menunjuk kepada tukang cukur, lalu dicukur pula pada bahagian kiri kepala Rasulullah s.a.w. Selepas itu Rasulullah s.a.w bersabda: "Datang ke sini wahai Abu Talhah!." Lalu Rasulullah s.a.w menyerahkan rambutnya kepada Abu Talhah Al-Ansari untuk dibahagikan kepada orang ramai.
2. Setelah Rasulullah s.a.w selesai bercukur rambut, memotong misai dan jambang serta mengerat kuku, Rasulullah s.a.w memerintahkan agar rambut dan kuku tersebut ditanam.
3. KetikaRasulullah s.a.w sedang bercukur, Khalid bin Al-Walid meminta jambul yang berada di atas dahi baginda lalu diberikan kepadanya. Khalid meletakkan rambut tersebut di bahagian hadapan serban beliau sebagai perhiasan sehingga beliau berjaya mengalahkan musuh dengan keberkatan jambul tersebut.
4. Kebanyakan sahabat mencukur rambut dan sesetengah mereka pula hanya menggunting sahaja. Rasulullah s.a.w telah bersabda: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Ampunilah mereka yang bercukur." Selepas diulang tiga kali, Rasulullah s.a.w ditanya: "Bagaimana dengan orang yang berguting wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w terus bersabda: "Juga kepada orang yang bergunting". Iaitu pada kali keempat.
5. Setelah Rasulullah s.a.w selesai bercukur, Rasulullah s.a.w memakai wangi-wangian serta memakai baju. Seterusnya orang ramai pun bertahallul.
6.
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: "Aku telah bercukur sebelum menyembelih." Rasulullah s.a.w bersabda: "Sembelihlah, jangan ragu-ragu". Kemudian seorang lelaki lain datang menemui Rasulullah s.a.w lalu bertanya: "Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan Tawaf Ifadhah sebelum menyembelih." Rasulullah s.a.w bersabda: "Bercukurlah, jangan ragu-ragu". Kesemua soalan yang di kemukakan kepada Rasulullah s.a.w pada hari itu, Rasulullah s.a.w hanya menjawab: "Lakukanlah dan jangan ragu-ragu".
7. Kemudian Rasulullah s.a.w mengutuskan Abdullah bin Huzafah As-Sahmi, dalam riwayat lain Kaab bin Malik untuk memberitahu kepada orang ramai di Mina bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Sesungguhnya hari ini adalah hari untuk makan, minum, berkahwin dan mengingati Allah s.w.t".
Haji Wida' > Masjidilharam
Masjidilharam: Tawaf Ifadhah
Sabtu 10-12-10 H 7-3-632 M
1. Seterusnya Rasulullah s.a.w bertolak ke Mekah sebelum waktu Zuhur dengan menunggang unta serta diiringi oleh Muawiyah bin Abi Sufian yang mengikuti Rasulullah s.a.w dari Mina hingga ke Mekah. Kemudian Rasulullah s.a.w melakukan Tawaf Ifadhah iaitu Tawaf ziarah yang dikenali juga dengan Tawaf permulaan.
2. Rasulullah s.a.w melakukan Tawaf di Baitullah ketika Haji Wida' secara menunggang unta dan beristilam iaitu melambai Rukun (Hajarulaswad) dengan menggunakan tongkat baginda sehingga dapat dilihat oleh orang ramai. Mereka bersesak-sesak mengerumuni baginda untuk bertanyakan urusan agama.
3. Rasulullah s.a.w bersembahyang Zuhur di Mekah, kemudian kembali ke Mina dan mendapati orang ramai sedang menunggu Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w mengimami para sahabat menunaikan sembahyang di Mina pada akhir waktu Zuhur.
4. Rasulullah s.a.w bermalam di Mina pada malam Ahad kerana menunggu hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah).
5. Setelah selesai melakukan Tawaf, Rasulullah s.a.w pergi ke telaga Zamzam. Ketika itu orang ramai sedang minum. Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai anak Abdul Muttalib! Jika bukan kerana orang ramai berebut-rebut (untuk menjaga timba), nescaya aku akan turun dan minum bersama-sama kamu".
6. Kemudian Rasulullah s.a.w pergi ke tempat air lalu meminta air. Al-Abbas berkata: "Wahai Fadli! Pergilah menemui emak kamu agar dia bawakan air yang ada padanya untuk Rasulullah s.a.w." Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Bawakan air kepadaku." Emak Fadli berkata: "Wahai Rasulullah! Mereka telah mencelup tangan mereka ke dalam air tersebut." Rasulullah s.a.w bersabda: "Bawakan air kepadaku (yang diminum oleh orang ramai)." Rasulullah s.a.w terus meminum air tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w pergi ke telaga Zamzam lalu minum dalam keadaan berdiri.
- Saidatina Aisyah r.a melakukan sekali Tawaf dan sekali Saie sahaja pada hari itu. Memadailah untuk ibadat Haji dan Umrah beliau.
- Safiah r.a juga melakukan Tawaf pada hari itu, kemudian beliau didatangi haid. Rasulullah s.a.w bersabda: "Memadailah baginya Tawaf tersebut sebagai Tawaf Wida' dan tidak perlu lagi melakukan Tawaf Wida'."
Haji Wida' > Mina
PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH [BHG9]
1. Seterusnya Rasulullah s.a.w beredar perlahan-lahan dari Rauha' menuju ke Uthayah yang terletak kira-kira 90 km dari Rauha' dimana penunggang terpaksa bermalam pada malam Selasa di suatu tempat sebelum Nabi Muhammad s.a.w sampai di Uthayah.
2. Ketika berada di Uthayah terletak diantara Ruwaithah dan Arju tiba-tiba Rasulullah s.a.w terlihat seekor kijang yang terkena panah berhenti dibawah bayangan lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan seorang lelaki (mengikut sesetengah pendapat Rasulullah s.a.w memerintahkan Abu Bakar as-Siddiq r.a.) supaya berdiri berhampiran kijang tersebut agar tidak diganggu oelh orang ramai sehingga mereka menjauhinya.
Di sini berlaku sedikit keraguan iaitu:
Kenapakah Nabi s.a.w menyuruh agar memakan daging kaldai liar sedangkan baginda s.a.w. melarang dari memakan kijang ketika berada di Uthayah? Tafsir: Pemburu kaldai liar adalah seorang yang tidak berniat Ihram malah dia sendiri yang datang berjumpa Nabi Muhammad s.a.w dan baginda s.a.w. melihatnya tidak berihram. Oleh sebab itulah daging kaldai liar halal dimakan dan tidak ditegah dari memakannya. Mengenai kijang pula Nabi Muhammad s.a.w tidak mengetahui siapakah pemburunya dan siapakah yang memanahnya. Adakah orang yang memanahnya seorang yang berihram atau tidak? Oleh sebab yang demikianlah baginda s.a.w. tidak mengizinkan para sahabat memakannya.
Haji Wida' > Arju
Arju - Berhenti Di Arju:
Selasa 29-11-10 H 25-2-632 M
Arju adalah sebuah tempat yang terletak berhampiran dengan Badar tempat dimana berlakunya peperangan Badar Kubra. Nabi Muhammad s.a.w berhenti di Arju. Ia terletak tidak begitu jauh dari Uthayah. Baginda s.a.w. bermalam di Arju pada malam Rabu. Cuba perhatikan adakah jumlah hari bulan Zulkaedah tahun kesepuluh Hijrah sebanyak 29 hari atau 30 hari.
Maklumat:
Terdapat perselisihan pendapat di antara perawi tentang bulan Zulkaedah tahun 10 Hijrah. Adakah ia sempurna atau kurang? Sebab berlakunya perselisihan pendapat ialah kerana terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, Saidatina Aisyah dan Jabir r.a (bahawa Nabi Muhammad s.a.w keluar dari Kota Mahinah lima hari sebelum sempurna bulan Zulkaedah oleh itu Ibnu Hazmi berkata Nabi Muhammad s.a.w keluar pada Hari Khamis 24 Zulkaedah.
Pendapat yang lain mengatakan, Nabi Muhammad s.a.w keluar pada hari Sabtu dan perawi menyangka bulan tersebut adalah sempurna. Oleh itu semua pendapat bersepakat mengatakan bahawa bulan Zulkaedah pada tahun tersebut hanya 29 hari sahaja. Hanya Allah s.w.t. sahaja Yang Maha Mengetahui perkara sebenarnya.
* Nabi Muhammad s.a.w keluar pada hari Sabtu 26 Zulkaedah bersamaan 22 Februari 632 M.
* Bilangan hari pada bulan Zulkaedah tahun 10 Hijrah adalah 30 hari.
* Bulan Zulhijah juga adalah sebanyak 30 hari kerana tahun tersebut adalah tahun lompat mengikut taqwin (kalendar) Hijrah dan bulan Februari adalah sebanyak 29 hari kerana tahun 632 M juga adalah tahun lompat mengikut taqwim (kalendar) Masehi.
* Apabila bilangan hari bulan Zulhijah sebanyak 30 hari nescaya tahun Hijrah tersebut dikira tahun lompat, jika bilangan bulan Zulhijah sebanyak 29 hari nescaya tahun tersebut dikira bukan tahun lompat. Sekiranya anda ingin mengetahui perbezaan di antara tahun Hijrah biasa dengan tahun Hijrah lompat, anda bolehlah membahagikan jumlah hari dalam tahun tersebut kepada 30. Cuba bandingkan bakinya bersama nombor-nombor berikut: 2 - 5 - 7 - 10 - 13 - 15 - 18 - 21 - 24 - 26 - 29, sekiranya baki tersebut menyamai salah satu darinya maka jelaslah bahawa tahun tersebut adalah tahun lompat. Jika sebaliknya, maka tahun tersebut bukan tahun lompat. Perkara sebegini jelas pada bulan Zulhijah, sekiranya tahun tersebut bukan tahun lompat maka bilangan hari bulan Zulhijah adalah sebanyak 29 hari, tetapi jika tahun tersebut tahun lompat maka bilangan hari bulan Zulhijah adalah sebanyak 30 hari.
Arju - Kehilangan Unta:
Rabu 30-11-10 H 26-2-632 M
Unta pembawa makanan Nabi Muhammad s.a.w dan makanan Saidina Abu Bakar as-Siddiq adalah unta yang sama. Ia dibawa oleh budak suruhan Saidina Abu Bakar. Ketika mereka berhenti di Arju, Nabi Muhammad s.a.w duduk berehat dan Abu Bakar berada disisi Nabi Muhammad s.a.w manakala Aisyah berada disisi Nabi Muhammad s.a.w dibahagian yang lain. Asma' binti Abu Bakar juga berada ditempat tersebut. Abu Bakar menunggu-nunggu budak suruhannay datang berjumapa dengannya. Setelah beberapa ketika budak suruhan yang ditunggu-tunggu datang berjumpa dengannya tetapi tidak ada unta bersamanya. Lalu Abu Bakar bertanya: "Dimana untamu?" Budak tersebut menajwab: "Telah hilang kelmarin." Abu Bakar berkata sembil merenung tajam: Unta seekor pun boleh hilang?" Lalu Saidina Abu Bakar memukul budak suruhannya sedangkan Nabi Muhammad s.a.w hanya tersenyum kemudian berkata: "Tengoklah kamu kepada orang yang berihram ini. Apakah yang dia lakukan?" Nabi Muhammad s.a.w tidak lagi meneruskan kata-katanya itu sebaliknya Nabi Muhammad s.a.w terus tersenyum.
Arju - Makanan Ahli Fadhalah:
Rabu 30-11-10 H 26-2-632 M.
Ketika diberitahu tentang kehilangan unta Rasulullah s.a.w yang membawa makanan kepada keluarga Fadhalah, mereka terus mengambil satu bekas yang penuh dengan Hais iaitu makanan yang diperbuat dari minyak sapi dan gandum atau gandum dan tamar lalu membawanya kepada Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai Abu Bakar! Kemarilah. Allah s.w.t. telah mengurniakan kepada kita makanan yang lebih baik". Melihat keadaan Abu Bakar yang masih lagi tidak dapat menahan kemarahan terhadap budak suruhannya, Rasulullah s.a.w berkata: "Cukuplah wahai Abu Bakar! Apa yang berlaku bukanlah kehendak kamu dan bukan juga kehendak kita semua, malah budak suruhan kamu cukup berhati-hati agar unta tersebut tidak hilang. Semua perkara ini adalah diluar kehendaknya". Setelah itu Rasulullah s.a.w, keluarga baginda s.a.w., Abu Bakar dan para sahabat yang ada bersamanya memakan makanan yang dihidangkan sehingga mereka semua kenyang.
Arju - Unta Kembali:
Rabu 30-11-10 H 26-2-632 M
1. Orang ramai terkejut melihat keadaan Safuan bin al-Mu'attal r.a yang tergesa-gesa membawa seekor unta yang membawa bekalan makanan ke rumah Rasulullah s.a.w, sehinggalah beliau meletakkan unta tersebut di hadapan pintu rumah baginda. Melihat keadaan demikian Rasulullah s.a.w bertanya kepada Abu Bakar as-Siddiq r.a: "Itukah barang-barangmu?" Abu Bakar menjawab: "Aku tidak pernah kehilangan sesuatu kecuali sebiji bekas yang biasa kami gunakan untuk meminum air dan ia diperbuat dari kayu." Budak suruhannya menjawab: "Ini bekasnya! Ada bersamaku." Abu Bakar berkata kepada Safuan: "Allah s.w.t. telah mengurniakan amanah kepadamu."
2. Setelah beberapa detik Saad bin Ubadah dan anaknya Qais r.a datang memanggil Rasulullah s.a.w sambil membawa seekor unta yang penuh dengan bekalan makanan. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w, mereka berdua terus mendapatkan Nabi Muhammad s.a.w yang masih berdiri di pintu rumahnya. Pada waktu itu Allah s.w.t. telah mengembalikan unta pembawa bekalan yang telah hilang. Saad berkata: "Wahai Rasulullah! Kami telah diberitahu bahawa kamu telah kehilangan unta yang membawa bekalan makanan pagi tadi. Oleh itu ambillah unta kami ini yang penuh dengan bekalan makanan sebagai gantinya." Rasulullah s.a.w menjawab: "Allah s.w.t. telah mengembalikan unta kami yang membawa bekalan makanan. Pulanglah kamu berdua dengan membawa unta yang penuh dengan bekalan makanan kamu itu, semoga Allah s.w.t. memberkati kamu berdua.
Haji Wida' > Abwa'
Abwa' 30-11-10 H 26-2-632 M
1. Kemudian Rasulullah s.a.w meneruskan perjalanan. Semasa Rasulullah s.a.w berada di Abwa' Rasulullah s.a.w dihadiahkan seekor kaldai liar oleh as-So'bu bin Jassamah. Mengikut riwayat yang lain: "Separuh kaldai liar" namun Rasulullah s.a.w tidak menerimanya sebaliknya Rasulullah s.a.w bersabda: "Aku tidak akan menolaknya sekiranya aku tidak berihram."
2. Para sahabat yang menunggang binatang tunggangan meneruskan lagi perjalanan menuju ke Wadi Asafan yang terletak di Mekah pada hari Rabu.
Haji Wida' > Asafan
Jumaat 2-12-10 H 28-2-632 M
1.Nabi Muhammad s.a.w bermalam pada malam Khamis di suatu tempat yang terletak di antara Abwa' dan Wadi Asafan. Nabi Muhammad s.a.w meneruskan perjalanan pada hari Khamis dan bermalam pada malam Jumaat di suatu tempat yang tidak begitu jauh dengan Wadi Asafan manakala pada hari Jumaat pula, Nabi Muhammad s.a.w meneruskan lagi perjalanannya sehinggalah sampai di Wadi Asafan.
2. Semasa Nabi Muhammad s.a.w berjalan-jalan di Wadi Asafan, Baginda s.a.w. bersabda: "Wahai Abu Bakar, Wadi apakah ini?" Abu Bakar menajwab: "Wadi Asafan, ya Rasulullah" Baginda s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Nabi Hud dan Nabi Soleh telah melalui wadi ini secara menunggang unta jantan yang masih muda dan berwarna merah serta mempunyai tali kekang yang diperbuat dari seludang iaitu kelopak atau pembalut yang berjalur dan berselimut dengan jubah. Mereka bertalbiah dan mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah."
3. Rasulullah s.a.w bermalam di Mekah pada malam Sabtu selepas Baginda s.a.w. melalui Wadi Asafan. Setelah Subuh Baginda s.a.w. meneruskan lagi perjalanan ke Saraf.
Haji Wida' > Saraf-Melintasi
Sabtu 3-12-10 H 29-2-632 M
Ibnu Saad menyebut di dalam kitab at-Tobaqaat al-Kubra bahawa: "Rasulullah s.a.w melalui az-Zahran pada hari Isnin dan matahari tenggelam pada hari yang sama semasa baginda berada di Saraf." Sebenarnya: Rasulullah s.a.w melalui az-Zahran pada pagi hari Sabtu kemudian melalui Saraf pada hari yang sama dan Rasulullah s.a.w meneruskan perjalanan sehinggalah Rasulullah s.a.w berhenti di Zu Tuwa serta Rasulullah s.a.w bermalam di sana pada malam Ahad, Wallahu A'lam.
Saraf - Membatalkan Haji:
Sabtu 3-12-10 H 29-2-632 M
1. Ketika Rasulullah s.a.w berada di Saraf, Baginda s.a.w. berkata kepada para sahabat: "Sesiapa yang tidak mempunyai Dam dan ingin menukar ibadat Hajinya kepada Umrah maka bolehlah dia melakukannya tetapi sesiapa yang mempunyai Dam janganlah berbuat demikian." (iaitu hendaklah dia terus berada di dalam Ihramnya). Tindakan ini dinamakan oleh ulama-ulama Fekah sebagai membatalkan Haji.
2. Empat belas orang sahabat r.a telah meriwayatkan hadis daripadaRasulullah s.a.w tentang tindakan menukar ibadat Haji kepada Umrah dan Hadis mereka semua adalah Sahih.
Saraf - Aisyah Menangis:
Sabtu 3-12-10 H 29-2-632 M
Ketika Rasullullah s.a.w. berada berada di daerah Saraf, Saidatina Aisyah datang haid sedangkan beliau dalam keadaan berihram umrah, lalu Rasullullah s.a.w. menemuinya yang kebetulan sedang menangis. Rasullullah s.a.w. bertanya: "Aisyah, apakah yang menyebabkan kamu menangis, jangan-jangan kamu datang haid?" Aisyah menjawab: "Ya". Rasullullah s.a.w. berkata: "Ini adalah sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. keatas wanita-wanita, oleh itu lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh jemaah Haji, cuma janganlah kamu melakukan Tawaf."
Haji Wida' > Mekah
Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M
1. Rasulullah s.a.w bertolak ke Mekah dan memasukinya melalui dataran tinggi yang terletak dari arah Hajun.
2. Rasulullah s.a.w berjalan memasuki Kota Mekah pada waktu Dhuha dan terus ke pintu Masjidil Haram lalu mentelekukan unta tunggangannya kemudian memasuki Masjidil Haram melalui Bab Abdul Manaf (Pintu Abdul Manaf) dan kini orang ramai menamakannya Bab Bani Syaibah (Pintu Bani Syaibah). Rasulullah s.a.w memerhati ke arah Baitullah dan menghadapnya lantas mengangkat kedua tangan seterusnya bertakbir sambil membaca: Yang bermaksud: "Ya Allah, Engkaulah yang bersifat sejahtera, dariMu sahajalah kesejahteraan. Oleh itu hidupkanlah kami wahai Tuhanku dengan kesejahteraan. Ya Allah, tambahkanlah Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebaikan serta tambahkanlah kurniaMu kepada sesiapa jua yang memuliakannya (Baitullah) dan membesarkannya dari kalangan orang-orang yang mengerjakan ibadat Haji atau Umrah dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebajikan.
Di dalam riwayat yang lain Rasulullah s.a.w membaca: Yang bermaksud: "Ya Allah, tambahkanlah Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebaikan."
Semasa Rasulullah s.a.w memasuki Masjidil Haram, Rasulullah s.a.w terus menuju ke Baitullah tanpa mendirikan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid kerana Tahiyyatul Masjid bagi Masjidil Haram adalah Tawaf.
Mekah - Tawaf:
Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M
1. Rasulullah s.a.w memulakan Tawafnya dari Hajarulaswad. Rasulullah s.a.w melambaikannya tanpa bersesak-sesak untuk mengucupnya sambil kedua mata baginda penuh berlinangan air mata.
2. Rasulullah s.a.w memakai pakaian Ihram secara menutup bahu kiri dan membuka bahu kanan. Rasulullah s.a.w berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan, setelah selesai empat pusingan Rasulullah s.a.w mengucup Hajarulaswad dan meletakkan kedua tangan keatasnya kemudian menyapu kemuka.
3. Rasulullah s.a.w meneruskan lagi tawafnya sebanyak tiga pusingan, setiap pusingan Rasulullah s.a.w memulakannya dari Hajarulaswad dan mengakhirinya juga di Hajarulaswad. Pada ketiga-tiga pusingan ini Rasulullah s.a.w berjalan agak cepat sedikit, walau bagaimanapun Rasulullah s.a.w tidak membuka langkah lebih luas.
4. Setiap kali Rasulullah s.a.w sampai di garisan Hajarulaswad, Rasulullah s.a.w mengisyaratkannya secara melambai dengan menggunakan Mihjan (tongkat yang berkepala bengkok) dan mengucup Mihjannya. Semasa melambai Rasulullah s.a.w membaca:
5. Rasulullah s.a.w berkata kepada Umar bin al-Khattab r.a.: "Wahai Umar, engkau adalah seorang lelaki yang kuat. Oleh itu janganlah kamu berebut-rebut dengan orang ramai untuk mengucup Hajarulaswad kerana keadaan demikian akan menyakiti orang-orang yang lemah. Sekiranya engkau berpeluang bolehlah engkau mengucupnya jika tidak maka hadaplah kearahnya serta bertalbiah dan bertakbir."
6. Orang ramai menghafal doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w ketika berada di antara dua rukun iaitu: Rukun Yamani dan Hajarulaswad. Doa tersebut ialah: Yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini, begitu juga kurniakanlah kepada kami kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab Neraka."
7. Setelah selesai TawafRasulullah s.a.w beredar ke belakang maqam Ibrahim sambil membaca: Yang bermaksud: "Dan kamu jadikanlah maqam Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang." Pada waktu itu maqam Ibrahim terletak sangat hampir dengan Kaabah. Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat dibelakang maqam Ibrahim dengan kata lain Rasulullah s.a.w menjadikan maqam Ibrahim berada diantara Rasulullah s.a.w dan Kaabah. Pada rakaat pertama Rasulullah s.a.w membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun manakala pada rakaat yang kedua pula Rasulullah s.a.w membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas."
8. Sebaik sahaja selesai sembahyang baginda terus beredar ke Hajarulaswad lalu mengucupnya kemudian Baginda s.a.w. keluar melalui Bab Bani Makhzum (Pintu Bani Makhzum) yang bertentangan dengan bukit Safa untuk memulakan Saie. Rasulullah s.a.w tidak berebut-rebut dengan orang ramai untuk mengucup Hajarul Aswad, tidak menghadap ke arah Rukun Yamani, tidak mengangkat kedua tangannya dan tidak menyebut: Yang bermaksud: "Sahaja aku berniat Tawaf pada minggu ini (sekian atau sekian.) Begitu juga Baginda s.a.w. tidak memulakannya dengan bertakbir sebagaimana Baginda s.a.w. bertakbir untuk sembahyang.
Rasulullah s.a.w tidak menyentuh Hajarulaswad dengan menggunakan kedua-dua tangannya, tidak berdoa ketika berada di pintu, tidak berdoa ketika berada di bawah saluran hujan yang diperbuat dari emas, tidak berdoa di belakang Kaabah, tidak menghadkan zikir-zikir tertentu semasa Tawaf dan Rasulullah s.a.w tidak melakukannya malah Rasulullah s.a.w tidak mengajarnya. Oleh yang demikian sepatutnya orang ramai mengambil perhatian terhadap apa yang mereka lakukan tanpa pengetahuan yang mendalam.
PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH [BHG8]
Telaga Zamzam
Di antara nama bagi Zamzam ialah sebagaimana berikut:
Zummizmu Hazmatu Jibril Siidah Zammamu
Barakah Suqya Ismail Madnunah Syia'ah
Mubarakah Ghuslu Qalbi Muhammad Safiah Maktumah
Kaafiah Ta'aamu Tu'mu Barratu Asy-Syuba'atu
Aafiah Syifau Suqmi Marwiyyah Syuba'atul Iyal
Mughazziah Syarabul Abrar Aunah Tuktamu
Tahirah Qaryatul Naml Busyra Hazmatu Ismail
Hurmah Nuqratul Ghurabil A'sam Ismah Hazmatul Bi'ri
Mu'nah La Tutrifu wala Tuzammu Tayyibah Abyar
Nafi'ah Hafirah Abdul Muttalib Hirfah Hazmatu Jibril
Haji Wida' - Madinah
Sabtu 26-11-10 H 22-2-632 M
1. Rasulullah s.a.w. tinggal diMadinah selama sepuluh tahun. Baginda s.a.w. berkorban setiap tahun tetapi belum lagi mengerjakan Haji sehingga pada bulan Zulkaedah tahun kesepuluh Hijrah, Baginda s.a.w. telah membuat keputusan untuk keluar mengerjakan Haji. Setelah Baginda s.a.w. memberitahu hasrat tersebut kepada orang ramai berita tersebut heboh disekitar Kota Madinah kerana masing-masing berkeinginan untuk mengerjakan ibadat Haji bersama Nabi Muhammad s.a.w. Mereka berusaha sedaya upaya untuk bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w. sama ada secara menunggang binatang tunggangan atau berjalan kaki. Keadaan ini menyebabkan Kota Madinah dipenuhi dengan orang ramai. Bilangan mereka yang berkumpul menemui Baginda s.a.w. dalam perjalanan tidak terhitung ramainya. Mereka berkumpul disebelah hadapan, belakang, kiri dan kanan Baginda s.a.w. sehingga sayup mata memandang kerana jumlah mereka yang begitu ramai. Mereka ingin mengikuti Rasulullah s.a.w. dan melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda s.a.w.
2. Ketika Baginda s.a.w. ingin keluar untuk mengerjakan ibadat Haji, Baginda s.a.w. telah melantik Abu Dujanah Sammak bin Khursyah as-Sa'idiy sebagai pemimpin di Madinah dan ada juga yang berkata Baginda s.a.w. melantik Subak bin Urfutah.
3. Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang Zuhur di Madinah sebanyak empat rakaat, Baginda s.a.w. berkhutbah kepada orang ramai dan mengajar mereka tentang ibadat Haji yang akan mereka kerjakan (khutbah).
4.Setelah itu Baginda s.a.w. meminta supaya mengambil untanya lalu Baginda s.a.w. mengguriskan tanda dibahagian bonggol sebelah kanan unta tersebut lalu mengalir darah darinya. Seterusnya Baginda s.a.w. menyarungkan kalung tanda keleher unta tersebut. Baginda s.a.w. menyerahkan kepada orang lain urusan menanda dan menyarung kalung unta-unta yang lain. Sebaik sahaja selesai meletakkan tanda, Baginda s.a.w. menyerahkan untanya sebagai Dam kepada Najiah Ibnu Jundab al-Aslami.
5. Rasulullah s.a.w mandi sunat Ihram, memakai wangi-wangian lantas memakai dua pakaian ihram kemudian menyebut: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, jadikanlah dia Haji yang diterima, tanpa ada perasaan riak dan ingin menunjuk-nunjuk."
6. Rasulullah s.a.w keluar dari Kota Madinah pada waktu tengahari iaitu selepas Zuhur pada hari Sabtu, melalui jalan-jalan yang berpokok, lima hari sebelum genap bulan Zulkaedah. Ketika keluar dari Kota Madinah, Baginda s.a.w. mendirikan sembahyang di Masjidnya
Haji Wida' > Zul Hulaifah
Sabtu 26-11-10 H 22-2-632 M
1. Jarak di antara Zul Hulaifah dengan Kota Madinah adalah sejauh tiga batu dan ia terletak di Wadi Atik. Baginda berjalan ke Zul Hulaifah, sebaik sahaja tiba di sana pada waktu asar, Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang Asar secara qasar.
2. Rasulullah s.a.w turun ke Samurah yang terletak didalam kawasan masjid di Zul Hulaifah tetapi tidak pula ke Rausah yang berada dikanan jalan.
3. Seterusnya Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang Maghrib dan Isyak kemudian Rasulullah s.a.w berjumpa isteri-isterinya pada malam tersebut secara bergilir-gilir, selepas itu Rasulullah s.a.w mandi dan disapu wangi-wangian oleh Saidatina Aisyah r.a. Setelah itu Rasulullah s.a.w bermalam di Zul Hulaifah.
4. Setelah mendirikan sembahyang Subuh Rasulullah s.a.w memberitahu para
sahabatnya dengan bersabda: "Semalam aku telah dikunjungi sesuatu daripada Tuhanku (mengikut riwayat yang lain Jibril) lalu berkata: Dirikan sembahyang dilembah ini dan sebutkanlah Umrah didalam hati."
5. Perintah supaya mendirikan sembahyang di lembah Aqiq merupakan perintah supaya tetap berada di Zul Hulaifah sehingga selesai sembahyang Zuhur, setelah itu bolehlah memakai pakaian Ihram.
Asma' melahirkan anak:
Sebaik sahaja kenderaan tunggangan tiba di Zul Hulaifah, Asma' binti Umais, isteri Abu Bakar as-Siddiq telah melahirkan seorang anak bernama Muhammmad bin Abu Bakar. Asma' dibawa berjumpa Rasulullah s.a.w lalu bertanya: "Apakah yang perlu aku lakukan?" Rasulullah s.a.w : "Mandilah dan pakailah pakaian kemudian niatlah untuk mengerjakan ibadat Haji."
Pengajaran Yang Boleh Diambil:
Kekuatan Iman dan kecekalan wanita Islam. Kalau tidak kerana kekuatan iman dan kecekalannya, sudah tentu beliau tidak bermusafir dari Madinah untuk mengerjakan ibadat Haji memandangkan dia berada dalam keadaan hampir bersalin.
Zul Hulaifah - Ihram:
Ahad 27-11-10 H 23-2-632 M
1. Setelah selesai mendirikan sembahyang Zuhur, (Rasulullah s.a.w mula untuk berihram. Rasulullah s.a.w memulakan dengan mandi kali kedua bukannya manda yang telah Rasulullah s.a.w lakukan pada hari sebelum hari tersebut. Rasulullah s.a.w membasuh kepala dengan menggunakan dua jenis tumbuhan yang biasa digunakan untuk membasuh kepala iaitu khitmi (sejenis tumbuhan berbunga) dan Usynan iaitu Potash (ia biasa digunakan untuk membuat sabun). Setelah selesai mandi Rasulullah s.a.w menyapu kepala dengan sedikit minya kemudian meratakannya dengan menggunakan kedua-dua tangan. Setelah itu Saidatina Aisyah r.a menyapu tubuh dan kepala baginda dengan wangian kasturi sehingga kesan kasturi kelihatan pada sendi-sendi baginda.
2. (Rasulullah s.a.w ditanya oleh seorang lelaki: "Apakah pakaian yang boleh dipakai oleh orang yang berihram?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Kamu tidak boleh memakai baju, serban, seluar,jubah yang mempunyai penutup kepala dan khuf (berbentuk stokin tetapi diperbuat dari kulit) kecuali selipar yang tiada penutup hadapan dan belakang."
Berniat Ihram:
1. Rasulullah s.a.w memasuki masjid Zul Hulaifah lalu mendirikan sembahyang empat rakaat kemudian berniat Ihram Haji di dalam masjid tersebut sehingga dapat didengari oleh sahabat yang berada di dalamnya lalu mereka berkata: "Baginda s.a.w. bertalbiah untuk Ihram Haji dari masjid dan ketika menunggang tunggangan." Manakala sahabat yang berada di tepi masjid pula berkata: "Baginda s.a.w. bertalbiah Ihram Haji ketika tunggangan bersedia untuk bertolak." Ketika berada di Baida' juga baginda s.a.w. bertalbiah Ihram Haji dan didengari oleh sahabat yang berada di Baida', lalu mereka berkata: "Baginda s.a.w. bertalbiah Ihram Haji dari Baida'. Semua kata-kata mereka adalah betul.
2. Nabi Muhammad s.a.w berlafaz niat Ihram Haji dan Umrah satu kali, berlafaz niat Ihram Umrah satu kali dan berlafaz niat Ihram Haji sahaja satu kali kerana Umrah adalah sebahagian daripadanya. Oleh sebab yang demikianlah ada yang mengatakan Baginda sa.w. mengerjakan Haji Qiran, ada yang mengataka Baginda s.a.w. mengerjakan Haji Tamattu' dan ada juga yang mengatakan Baginda sa.w. mengerjakan Haji Ifrad. Manakala pendapat yang betul ialah pada mulanya Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Ifrad. Setelah itu berihram Umrah dan memasukkannya ke dalam ibadat Haji maka jadilah: Haji Qiran.
3. Sesiapa yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Ifrad maka itulah yang asalnya. Manakala sesiapa yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Qiran adalah berdasarkan kepada pekerjaan terakhir Rasulullah s.a.w dan sesiapa yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Tamattu' ialah kerana mengambil maksud Tamattu' dari sudut bahasa yang bererti beruntung dan mendapat faedah.
Talbiah:
1. Rasulullah s.a.w bertalbiah dengan menyebut: Yang bermaksud: (Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu, telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, tidak ada sekutu bagiMu. Telah aku penuhi seruanMu, sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan segala pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu) dengan kuat hingga para sahabat mendengarnya menyebabkan mereka turut serta bertalbiah.
2. Rasulullah s.a.w juga bertalbiah dengan menyebut: Yang bermaksud: (Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu, telah aku penuhi keinginanMu. Kebaikan terletak pada kekuasaanMu, telah aku penuhi seruanMu, musafir keranaMu dan beramal keranaMu).
3. Talbiah Rasulullah s.a.w ialah: Yang bermaksud: Telah aku penuhi seruanMu dengan mengerjakan ibadat Haji dan kepadaMulah kami memperhambakan diri.
4. Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut di dalam Talbiah baginda s.a.w.: Yang bermaksud: Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, Tuhan yang sebenar-benarnya, telah aku penuhi seruanMu.
5. Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w berhenti dari bertalbiah, Rasulullah s.a.w terus memohon keampunan, keredhaan kepada Allah s.w.t. serta memohon agar diselamatkan dari api Neraka.
6. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Aku telah didatangi Jibril a.s. lalu meminta supaya aku memerintahkan para sahabat menyaringkan suara mereka ketika bertalbiah." Jiibril a.s. juga berkata: "Wahai Muhammad (s.a.w.), banyakkanlah bertalbiah dan berkorban."
7. Di dalam riwayat yang lain: Jibril datang berjumpa aku lalu berkata: "Wahai Muhammad (s.a.w.) Suruhlah sahabat-sahabat kamu supaya menyaringkan suara mereka dengan talbiah kerana sesungguhnya talbiah adalah syair iaitu lambang ibadat Haji."
Haji Wida' > Rauha'
Isnin 28-11-10 H 24-2-632 M
1. Jarak di antara Rauha' dengan Zul Hulaifah adalah sejauh kira-kira 50 km. Oleh itu ketika Rasulullah s.a.w keluar dari Kota Madinah selepas Zuhur pada hari Sabtu, sudah tentu baginda s.a.w. bermalam pada malam hari Isnin di pertengahan jalan di antara Zul Hulaifah dan pinggir Rauha'. Setelah subuh barulah Rasulullah s.a.w meneruskan perjalanan sambil bertalbiah.
2. Sebaik sahaja tiba di Rauha' Rasulullah s.a.w terlihat kaldai liar yang telah disembelih lalu Rasulullah s.a.w berkata kepada para sahabat: "Biarkan dia, kemungkinan tuannya akan datang." Setelah beberapa ketika tuannya yang berasal dari Kabilah Bahzin datang berjumpa Rasulullah s.a.w lalu berkata: "Wahai Rasulullah s.a.w, terpulanglah kepadamu untuk menguruskan kaldai ini." Rasulullah s.a.w memerintahkan Abu Bakar supaya membahagikannya kepada para sahabat.
3. Rasulullah s.a.w pernah mendirikan sembahyang dimasjid kecil yang terletak ditepi jalan sebelah kanan semasa anda pergi keMekah iaitu sebelum masjid besar yang terdapat di Rauha'.
Haji Wida' > Uthayah
Selasa 29-11-10 H 25-2-632 M
Langgan:
Catatan (Atom)