Memaparkan catatan dengan label kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kesihatan. Papar semua catatan

Selasa, 22 Oktober 2013

Tujuh Alasan Orang Malas Bersenam

Terdapat salah faham dikalangan majoriti masyarakat Malaysia mengenai idea ‘bersenam’ dan erti ‘gaya hidup sihat’. Berikut adalah beberapa alasan yang selalu kita dengar dan respon mengenai cara untuk mengelaknya.



Alasan #1 – “Saya sangat sibuk, mana ada masa nak bersenam!”

Anda tidak akan pernah sibuk untuk bersenam! Bersenam ialah suatu kewajipan selagi kita masih hidup (dan jika mahu hidup panjang!). Jika anda sangat sibuk dan langsung tidak ada masa untuk luangkan masa ‘berharga’ anda walaupun 20 minit sehari, jadilah lebih aktif! Gunakan tangga berbanding lif. Cuba kurangkan penggunaan kenderaan. Jika sangat perlu, letak kereta anda sejauh mungkin supaya anda masih perlu berjalan ke destinasi yang anda ingin tuju.

Okay anda mungkin berpendapat bahawa perkara-perkara ini adalah ‘remeh’ dan tidak mungkin membantu anda dalam mencapai objektif anda. Tetapi, jika anda mengambil langkah-langkah ini setiap hari, ianya akan memberi kesan lebih dalam jangka panjang! Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit juga kan!

Alasan #2 – “Buat apa bersenam? Saya telah ditakdirkan sebagai seorang gemuk!”

Saya berpendapat bahawa ini merupakan alasan yang tidak boleh diterima sama sekali! Ia seperti mengaku bahawa ada yang tidak kena tentang diri anda tetapi anda tidak mahu mengambil langkah proaktif untuk mengubahnya kerana menganggap bahawa ianya suatu yang telah ‘sebati’ dalam diri anda.




Kadangkala, kegemukan bukanlah kesalahan individu itu sendiri, ianya sesuatu yang dikongsi bersama. Ianya disebabkan oleh kebiasaan yang dipupuk dari kecil. Ingat tak pesan, kalau makan, makan sampai kenyang kan? Bersenam juga dianggap sebagai perkara yang tidak wajib oleh kebanyakan masyarakat kita. Sama juga bagi mereka yang kurus disebabkan kadar metabolism tinggi, senaman masih juga relevan dan penting!

Percayalah cakap saya, jika anda mempunyai azam untuk berubah anda pasti boleh mencapainya. Yang penting sekali, anda perlu ubah persepsi dan berhenti menyalahkan diri anda terhadap keadaan diri anda sekarang. Jika anda sedang membaca ini, ia bermakna anda sangat berminat untuk mengubah diri anda. Persoalannya sekarang, bilakah anda mahu mentadbir diri anda kembali? Jawapannya, sekarang!

Jika anda sedang membaca ini, ia bermakna anda sangat berminat untuk mengubah diri anda. Persoalannya sekarang, bilakah anda mahu mentadbir diri anda kembali? Jawapannya, sekarang!

Alasan #3 – “Saya diet, tak payah bersenam lah!”

Perkataan ‘diet’ ialah salah satu terma yang paling gemar digunakan dan juga ‘disalahguna’ oleh orang ramai yang cuba untuk mengurangkan berat badan! Diet tak bermakna anda ‘berpuasa’ dan mengikat perut anda dari makanan.



‘Diet’ sebenarnya ialah jumlah makanan yang diambil oleh seseorang. Setiap individu mempunyai jumlah nilai kalori harian (DCR) berlainan bergantung kepada fizikal badan dan juga gaya hidup seseorang itu (sama ada aktif atau tidak). Sudah tentu, tidak mustahil bagi seseorang itu untuk mengurangkan berat badan dengan hanya berdiet. Tetapi ianya sangat tidak disyorkan kerana seseorang itu perlu sangat berdisiplin dalam pengambilan makanan. Terdapat juga kemungkinan besar untuk berasa lapar dan akhirnya anda mungkin terlebih makan kerana tersangat lapar! Oleh itu, ‘diet seimbang’ sangat disyorkan oleh majoriti pakar nutrisi yang meliputi diet (‘reduced calorie diet’) dan senaman. Tahukah anda bersenam membantu anda mengurangkan nafsu makan?

Alasan #4 – “Saya tak mahu pergi gym, saya tak mahu badan ‘besar’ macam ahli bina badan!”

Mungkin ini salah satu sebab kenapa kurangnya pengunjung perempuan di gimnasium. Kaum wanita sangat risau jika tubuh badan mereka akan berotot seperti lelaki bina badan. Jangan risau, kebanyakan lelaki juga mempunyai kerisauan yang sama kerana tidak mahu kelihatan ‘besar’ macam ‘weightbuilder’.



Sebenarnya, bukan senang untuk seseorang kelihatan seperti ahli bina badan. Ianya adalah proses yang mengambil masa yang agak panjang dan diet mereka sangat berbeza berbanding mereka yang hanya pergi gym untuk menjadi sihat dan meningkatkan kesihatan diri. Jadi anda tak perlu risau!

Perempuan dan lelaki juga mempunyai fisiologi yang berbeza. Kepada kaum wanita, bentuk badan anda akan menjadi lebih menarik kerana latihan di gym membantu membakar lemak badan. Jangan jadikan alasan ini untuk tidak mahu pergi ke gym lagi okay?

Alasan #5 – “Bencilah bersenam! Tak suka!”



Saya suka berlari. Mungkin anda tidak suka berlari. Anda mungkin mempunyai aktiviti yang anda minat yang mungkin anda sendiri tidak tahu lagi. Yang penting di sini, jangan mudah berhenti dan berputus asa. Teruskan bersenam dengan pelbagai aktiviti yang anda boleh cari dan cuba. Kawan saya dah berhenti berlari dengan saya selepas beberapa minggu dan sekarang masuk kelas ‘pole dancing’. Tak kisahlah apa pun yang anda buat, cuma pastikan ianya sesuatu yang aktif dan membuat anda berpeluh!

Alasan #6 – “Buat penat saja exercise, tak ada beza apa-apa pun!”

Ramai orang putus asa dan berhenti bersenam sepenuhnya sebab tak nampak apa-apa pun beza selepas penat bersenam selama beberapa minggu. Banyak faktor yang menyebabkan kenapa ianya berlaku tetapi ianya boleh disimpulkan kepada satu sahaja, iaitu pengetahuan asas mengenai senaman.



Senaman akan menjadikan anda lebih sihat dan fit tetapi tidak akan membantu anda mengurangkan berat badan jika anda masih teruskan dengan diet anda yang biasa. Anda perlu tahu tentang konsep pemakanan sihat, dan juga tips mengenai senaman supaya anda boleh mencapai objektif anda secara efektif. Ingat, kualiti selalunya lebih penting dari kuantiti!

Alasan #7 – “Susahlah nak teruskan bersenam!”

Ada juga yang mahu bersenam tapi susah nak jadikan ianya satu amalan. Banyak sebab kenapa situasi ini boleh terjadi. Lazimnya ia mungkin disebabkan oleh terlalu memaksa diri untuk mencapai suatu objektif. Saya ingat lagi dahulu betapa azabnya untuk berlari hanya sejauh 1km tanpa henti. Ianya semuanya proses yang mengambil masa. Sekali lagi, ianya sangat bergantung kepada psikologi anda.

Betapa banyak anda mahu mencapai objektif tersebut. Saya selalu ingatkan diri saya untuk buat yang terbaik setiap kali bersenam kerana saya yakin setiap kali bersenam ialah satu kejayaan terhadap diri saya. Tak ramai orang yang sanggup bangun dari sofa dan keluar rumah hanya untuk pergi bersenam bukan?

Akhir sekali, kita perlu ingat bahawa seseorang tidak akan berubah kerana apa yang mereka sudah ketahui, tetapi apa yang mereka rasa tentang sesuatu. Seorang perokok tidak akan berhenti merokok kerana tahu merokok membahayakan kesihatan atau mungkin menyebabkan kanser, tetapi berhenti kerana merasakan sesuatu yang tidak kena tentang tabiat tersebut.

Disebalik tirai kehidupan..

Psikologist mengatakan:

1. Apabila seseorang itu terlalu ketawa terbahak-bahak biarpun hanya perkara kecil yang langsung tidak lucu dan kelihatan bodoh, dia sebenarnya seorang yang mempunyai jiwa yang sangat sunyi.



2. Sekiranya seseorang itu banyak tidur, dia orang yang kuat bersedih.

3. Apabila dia kurang bercakap tetapi pantas dalam berbicara, bermakna dia menyimpan seribu rahsia.




4. Sekiranya dia sukar untuk mengeluarkan airmata, dia seorang yang lemah.

5. Kalau senang menangis meskipun benda yang kecil sahaja, dia seorang yang berhati lembut.

6. Dan sekiranya dia cepat marah biarpun perkara sekecil kuman, itu bermakna dia perlukan kasih sayang.




Berusahalah untuk memahami orang lain, selepas kita memahami diri kita sendiri. Bukan 100% betul, tetapi ada sedikit kebenarannya disitu....

Jumaat, 11 Oktober 2013

Apa itu HFMD ( Penyakit kuku , Tangan Dan Mulut )





Pakar Runding Pediatrik (kanak-kanak), Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu, Kelantan, Dr. Mazidah Abd. Rasid berkata, HFMD adalah sejenis jangkitan virus yang disebabkan oleh beberapa kumpulan virus termasuklah enterovirus.




Tanda-tanda anak anda mengalami demam panas. Dia juga menjadi seorang yang cukup cerewet dan sering menangis. Air liurnya meleleh dan dia tidak berselera untuk makan serta minum.


Keadaan tersebut merupakan gejala-gejala biasa bagi masalah sakit kerongkong, mahu tumbuh gigi dan juga jangkitan telinga. Bagaimanapun, salah satu daripada kumpulan simptom ini yang biasanya terlepas pandang iaitu, ulser mulut, merupakan antara tanda utama penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Tambahnya lagi jangkitan ini menyebabkan timbulnya ruam berserta lepuh di tekak, tonsil, tangan (tapak tangan), kaki (pada tapak kaki) dan di sekitar kawasan lampin. Biasanya penyakit ini hanya sekadar sakit ringan dan ruam yang timbul itu akan hilang dalam tempoh lima hingga tujuh hari.




Menurutnya, terdapat beberapa jenis virus yang menyebabkan HFMD dengan virus yang biasa adalah Coxsackie A16, yang mencetuskan endemik di Malaysia dan biasanya berlaku pada tahap yang sederhana.
Kadangkala, terdapat jenis kuman virus lain seperti virus coxsackie A atau enterovirus 71 yang boleh mencetuskan penyakit ini. Virus Coxsackie merupakan salah satu jenis virus yang terdapat di dalam kelompok virus yang dikenali sebagai enterovirus seperti virus polio, virus coxsackie dan echovirus.



HFMD merupakan penyakit berjangkit sederhana. Ia merebak melalui sentuhan langsung dengan lelehan yang keluar daripada hidung dan tekak atau najis mereka yang telah dijangkiti kuman ini. Penyakit ini amat mudah berjangkit pada minggu pertama pesakit menghidapinya. Ia tidak boleh merebak kepada atau daripada binatang.

Tempoh pengeraman
Selepas seseorang itu dijangkiti kuman virus ini tempoh pengeramannya adalah di antara dua hingga enam hari. Gejala seperti demam dan ketidakselesaan pada mulut biasanya akan hilang pada hari ketiga atau keempat. Ulser mulut akan hilang pada hari kelima hingga ketujuh tetapi lepuh dan bintik-bintik merah di tangan, kaki akan hanya hilang dalam tempoh 10 hari.

Faktor-faktor risiko

Penyakit HFM boleh menjangkiti mana-mana kanak-kanak dan di mana saja tanpa mengira kawasan geografi. Kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun amat rentan penyakit ini sambil tidak menolak kemungkinan, ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia.

Penyakit ini juga biasanya menjangkiti kanak-kanak yang berumur di antara dua minggu hingga tiga tahun. Ini kerana kanak-kanak mempunyai daya tahan badan yang lemah dan mudah dijangkiti berbanding orang dewasa. Bagaimanapun, Dr. Mazidah menambah, ini tidak bermakna, orang dewasa kalis HFMD apatah lagi jika mereka mempunyai sistem imun yang tidak kuat.

Gejala-gejala

Demam berkemungkinan mencapai panas sehingga 39oC
• Sakit tekak
•  Ulser pada tekak dan mulut
•  Sakit kepala
•  Ruam bersama lepuh terdapat di tangan, kaki dan di kawasan lampin.


Komplikasi
Dr. Mazidah menjelaskan, komplikasi biasanya disebabkan oleh kekeringan air dalam badan atau dehidrasi apabila kanak-kanak yang mendapat ulser mulut tidak boleh makan dan minum. Virus enterovirus juga menyasarkan sistem saraf, otak dan jantung mangsa menyebabkan radang otak meningitis dan inflamasi serta keradangan otot jantung (miokarditis). Kemungkinan juga berlakunya sawan berikutan demam panas. Kesemua komplikasi ini sangat berbahaya dan boleh membawa maut.


Diagnosis
Doktor lazimnya akan melakukan pemeriksaan fizikal, melihat gejala-gejala HFMD dan sejarah penyakit dan pemeriksaan fizikal. Ujian darah akan dilakukan di makmal khas bagi mengesahkan jenis virus yang terlibat.


Prognosis
Kebanyakan kes HFMD adalah ringan dan sembuh sepenuhnya dalam masa lima ke tujuh hari. Malangnya, sehingga hari ini kita tidak boleh menjangka siapa yang boleh sembuh dan siapa yang akan mengalami komplikasi yang menjurus kepada kematian. Hubungi doktor sekiranya:

Anak anda tidak membuang air kecil lebih lapan jam
• Anak anda kelihatan kusut, mengantuk, pucat atau berbelak-belak, resah atau meragam dan tidak dapat tidur atau berpeluh dingin
• Demam lebih tiga hari
•  Sakit mulut semakin teruk
• Anak anda mengalami lemah otot kaki dan tangan atau diserang sawan.

Jika seseorang kanak-kanak ada menunjukkan simptom seperti di atas, dapatkan rawatan doktor segera. Jangan bersikap sambil lewa. Sebarang kelewatan untuk mendapatkan rawatan mungkin boleh menyebabkan kematian.

Langkah-langkah pencegahan

• Berhati-hati dan tumpukan perhatian kepada nasihat yang diberikan
• Kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda dan gejala HFMD mestilah dibawa berjumpa doktor secepat mungkin
• Jangan bawa anak anda ke tempat awam seperti pasar raya, pusat membeli-belah, kolam renang awam, sekolah, pusat penjagaan kanak-kanak dan lain-lain
• Anda mestilah lebih berhati-hati dari segi kebersihan semasa menyediakan makanan dan selepas keluar dari tandas. Basuhlah tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan dan sebelum dan selepas ke tandas
• Basuhlah tangan anda selalu terutamanya selepas menyalin lampin
• Permukaan yang telah tercemar hendaklah dibasmi kuman dengan menggunakan pencuci
• Basuh pakaian yang terkena kotoran secepat mungkin
• Jangan berkongsi barang kegunaan seperti tuala mandi, berus gigi, pakaian dan sebagainya
• Elakkan diri daripada mengikuti aktiviti luar rumah sehingga pihak berkuasa telah mengesahkan selamat untuk menjalani kegiatan harian
• Elakkan diri daripada mendekati pesakit HFMD
• Pihak berkuasa kesihatan hendaklah memeriksa tahap kebersihan di tempat di mana terdapat ramai kanak-kanak tinggal (contohnya tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak) dan arahkan supaya tempat itu ditutup jika tahap kesihatannya tidak mencapai tahap kebersihan yang sepatutnya
• Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak dibenarkan mengikuti program di pusat penjagaan kanak-kanak, sekolah atau aktiviti berkumpulan yang lain
• Berikan rawatan di rumah untuk kes yang tidak disyaki penyakit HFMD tetapi jika anda nampak tanda-tanda komplikasi seperti sakit pada leher atau pada tangan dan kaki, segera dapatkan rawatan doktor
• Jika demam anak anda masih tidak berubah selepas diberi ubat, segera berjumpa doktor semula
• Jika terdapat tanda-tanda dehidrasi (kulit dan membran mukus kering, turun berat badan, meragam, keletihan, kurang air kencing atau air kencing berwarna gelap), segera berjumpa doktor
• Kawasan di Malaysia yang mempunyai populasi terbesar terutamanya kawasan luar bandar, tidak digalakkan menggunakan ubat-ubatan tradisional dan merawat sendiri HFMD jika telah disyaki. Pengawalan penyakit daripada merebak mestilah diberikan keutamaan.




Sabtu, 24 November 2012

demam reumatik

Demam reumatik adalah demam yang berpunca daripada jangkitan tekak. Penyakit ini jarang ditemui pada bayi kerana kuman di tekak dapat dihapuskan dengan antibiotik. Walau bagaimanapun, adakalanya odktor menemui anak yang menghidap demam reumatik kerana rawatan diabaikan. Demam reumatik berbahaya kerana jangkitan boleh merebak ke jantung dan merosakkan injap-injap jantung sekiranya tidak dirawat dengan cepat. Semua pesakit demam ini berumur di bawah 3 tahun keatas.

Tanda-tanda
. Demam yang berpanjangan
. Sakit-sakit sendi
. Ruam.
. Bonjol-bonjol kecil di belakang badan, siku dan kaki.
. Denyutan jantung yang cepat
. Sesak nafas


Rujuk kepada doktor
Semua kes demam reumatik mesti dimasukkan ke hospital untuk rawatan antibiotik dan pemeriksaan jantung.

Komen : Semua kes demam reumatik mesti diberi ubat " penicilin ' selama beberapa tahun sebagaimana yang disyorkan oleh doktor. Ini ialah untuk mengelakkan jangkitan ulangan yang boleh merosakkan lagi injap jantung.
              Sakit jantung reumatik merupakan ekoran daripada demam reumatik. Kuman yangmula-mula menyebabkan demam reumatik ialah kuman ' streptococcus ' yang menyebabkan sakit tekak. Jika tidak dirawat dengan sempurna, reaksi imunologi pada anak akan memulakan penyakit demam reumatik.

hidung berdarah

Keadaan ini sering berlaku kepada kanak-kanak prasekolah dan yang sudah bersekolah. Ia terjadi akibat saluran darah di dalam hidung peach. Kanak-kanak yang menghembus hidungnya dengan kuat, mencungkil hidungnya atau terhantuk pada sesuatu objek akan mengalami masalah ini. Selalunya hidung berdarah akan berhenti dalam tempoh 5-10 minit tanpa rawatan.

Tanda-tanda
. Darah mengalir keluar dari hidung.
. Darah keluar dari tekak atau muntah.

Tindakan Ibu Bapa
. Tenangkan anak, bongkokkan kepalanya ke hadapan.
. Picit hidung anak selama 10  init sambil menyuruhnya bernafas melalui mulut. Tekan hidung yang terlobat  dengan jari beberapa minit sehingga pendarahan berhenti.
. Letakkan kain sejuk di muka anak
. Suruh anak ludahkan darah yang masuk ke tekaknya.
. Cegah anak mencungkil hidungnya dalam masa beberapa jam selepas pendarahan.


Rujukan kepada doktor perlu apabila :
. Pendarahan berterusan selepas 30 minit.
. Pendarahan yang sering berulang.
. Lebam-lebam biru kelihatan pada kulit. Ini bermakna anak mempunyai masalah pembekuan darah ( hemofilia )

Komen  :  Jangan dongakkan kepala anak keatas semasa hidungnya berdarah kerana akan mengalir masuk ke saluran pernafasan.

Isnin, 19 November 2012

batuk ( kanak-kanak )

Kanak-kanak sering sekali batuk.Ini adalah cara mereka membersihkan kerongkong dan saluran pernafasan. Batuk dapat mengeluarkan kahak yang kental daripada saluran pernafasan.Ramai kanak-kanak batuk apabila mereka menghidap selsema kerana hungus daripada hidung akan mengalir ke keringkong dan seterusnya mengakibatkan batuk.Batuk begini tidak membahayakan .



Tanda-tanda
Batuk merupakan satu tanda bagi penyakit lain seperti 'bronkiolitis', 'asma/lelah', 'krup', 'pneumonia' dan batuk kokol.Penyakit  tuberkulosis (tibi) atau batuk kering jiga akan membuatkan pesakit batuk berbulan-bulan lamanya.Selalunya penyakit yang disebut tadi mempunyai ciri-ciri lain.

Tindakan ibu bapa
: Beri anak minum secukupnya
: Galakkan anak mengeluarkan kahak setiap kali ia batuk.
: Ajar anak menghembuskan hingusnya sendiri.
: Rawatan selanjutnya bergantung kepada punca batuk.

Rujukan kepada doktor perlu apabila
: Usia anak kurang daripada 6 bulan kerana jangkitan paru-paru seperti bronkiolitis sering melibatkan anak dalam lingkungan usia ini.
: Demam.
: Kadar pernafasan semakin cepat ( lebih daripada 40 seminit pada bayi dan lebih 30 pada anak yang besar)
: Batuk yang mengakibatkan pernafasan terhenti dan muka anak menjadi biru
: Kurang selera atau daya untuk menyusu
: Batuk berterusan lebih daripada 7 hari
: Batuk mengganggu tidur.
: batuk mengakibatkan muntah setiap kali anak makan atau minum.
: anak tertelan benda asing kecil.

Komen : Ubat batuk yang mengandungi codeine tidak sesuai untuk anak.Ubat batuk jarang diberi diberi kepada anak yang batuk beberapa hari sahaja.

Selasa, 13 November 2012

Demam Sawan


Selalunya orang akan berasa takut melihat seseorang anak dalam keadaan sawan. Seorang bayi yang sawan tidak sedarkan diri, matanya selalu berpusing keatas dan seluruh badan serta kaki dan tangannya terasa keras dan seolah -olah menggilgil . Keadaan ini juga biasa dikenali sebagai tarik . Ramai di antara ibu bapa yang telah melihat bayi mereka mengalami tarik menyatakan yang mereka fikir bayi mereka hampir putus nyawanya .

Punca sawan di kalangan kanak -kanak yang kerap sekali terdapat ialah demam panas . Adalah dianggarkan yang sekurang -kurangnya satu peratus dari kanak - kanak mengalami demam sawan . Demam sawan juga merupakan satu sebab utama bagi ramai kanak - kanak masuk wad .

Sawan biasanya berlaku pada peringkat umur tiga bulan hingga tiga tahun . Walaupun demam sawan boleh juga berlaku dikalangan mereka itu . Sawan yang berlaku dikalangan bayi - bayi yang berusia kurang dari tiga bulan lebih besar kemungkinannya disebabkan oleh punca - punca lain yang lebih serius seperti penyakit meningitis . Demam sawan biasanya berlaku apabila suhu badan meningkat dengan tingginya . Sawan dikalangan bayi yang tidak ada kena mengena dengan demam merupakan sawan yang mungkin disebabkan oleh kerosakan otak , dan punca - punca metabolik seperti kekurangan glukos atau kalsium .

Biasanya bayi - bayi yang mendapat demam sawan hanya mengalami sekali sahaja dalam seumur hidupnya. Tetapi ada juga bayi - bayi yang masih terus mendapat demam sawan berkali - kali sehingga usianya tiga tahun terutamanya jika dia tidak diberi ubat - ubat yang boleh mencegah sawan .

Punca demam sawan

Kebanyakkan demam sawan yang berlaku adalah disebabkan oleh demam virus dan tanda - tanda yang didapati termasuklah selsema , batuk dan kurang minat menyusu . Tetapi ada sahaja penyakit yang boleh menaikkan suhu badan bayi - bayi atau kanak - kanak boleh membawa kepada demam sawan seperti penyakit lebam paru - paru ( pneumonia ) .

Untuk mengelakkan sawan , suhu badan bayi - bayi dan kanak - kanak mestilah diturunkan . Lazimnya seseorang bayi atau kanak - kanak yang demam mungkin tidak berminat untuk meminum air atau susu tetapi dia mestilah digalakkan juga untuk meminum seberapa banyak yang bolh . Baju yang dipakai mestilah nipis . Baju yang tebal akan menaikkan suhu badan . Ubat -ubatan untuk mengurangkan demam seperti panadol bolehlah diberi sementara mendapat penilaian dari doktor -doktor.

Aspirin adalah sangat berkesan untuk menurunkan suhu badan tetapi tidak digemari oleh kebanyakan pakar kanak -kanak kerana ada pendapat mengatakan bahawa penggunaan ubat ini boleh meninggikan risiko untuk seseorang bayi atau kanak -kanak itu mendapat penyakit yang dipanggil ' Reye' Syndrome ' . Penyakit ini biasanya bermula dengan batuk selsema dan demam walaupun tidak tinggi . Adakalanya penyakit ini bermula dengan muntah dan cirit . Setelah beberapa hari tanda -tanda ini mungkin surut tetapi biasanya dengan tiba -tiba keadaan berubah menjadi lebih tenat dimana kanak -kanak itu mengantuk atau tidak sedarkan diri dan mungkin mengalami sawan walaupun suhu badannya tidak tinggi . Penyakit ini boleh membawa maut dan bagi mereka yang dapat diselamatkan ada yang mengalami masalah -masalah perkembangan seperti kecacatan fizikal dan kecacatan akal . Saya ingin menegaskan bagaimana pentingnya ibu bapa tidak memberi Aspirin kepada anak -anak kecil .

Adakah demam sawan itu merbahaya ?

Demam sawan selalunya berlaku apabila suhu badan terlalu tinggi dan biasanya berlaku untuk beberapa minit sahaja , jarang sekali lebih dari 15 minit. Tetapi para doktor berasa khuatir kalau demam sawan berlanjutan sehingga lebih dari 20 minit kerana ini mungkin membawa kesan yang tidak baik kepada perkembangan intelek kanak -kanak itu . Ada penyelidikan yang menunjukkan bahawa sejenis penyakit sawan ( temporal lobe epilepsy ) boleh berlaku kepada sebahagian kecil kanak -kanak yang demam sawan . Dalam keadaan ini kanak -kanak tidak sedarkan diri , menepuk -nepuk pipinya ,bermain -main lidahnya serta menunjukan kelakuan yang agak aneh sepanjang sawan itu berlaku .

 Sawan boleh menjejaskan perkembangan intelek dan juga prestasi persekolahan kanak -kanak itu . Kanak -kanak yang mendapat demam sawan yang lama , iaitu lebih dari 30 minit , ketar -ketar disebelah badan sahaja dan mereka yang mempunyai saudara mara dekat yang menghidap penyakit sawan di anggap mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit sawan atau Epilepsy .

 Langkah -langkah yang perlu diambil apabila bayi demam sawan

Jika demam sawan berlaku ibu bapa perlulah bertenang dan yakin bahawa keadaan ini akan berlalu selepas beberapa minit . Mereka dinasihatkan untuk membaringkan bayi disebelah badan supaya tidak mudah cecair dari mulut dan tekak masuk ke dalam paru -paru , lalu membawa kepada penyakit ' pneumonia ' . Tuala yang direndam dengan air suam bolehlah disapukan kemuka serta tubuh badan yang telah ditelanjangkan . Jika demam sawan tidak reda selepas beberapa minit bayi itu hendaklah dibawa keklinik yang berdekatan supaya sawannya diberhentikan dengan  suntikan seperti valium atau paraldehyde yang akan diberi oleh doktor .

Adalah dinasihatkan supaya bayi -bayi dan kanak -kanak yang mendapat demam sawan untuk pertama kalinya dibawa berjumpa doktor kerana jika ada perasaan khuatir yang mereka mungkin menghidap penyakit meningitis doktor akan mengambil air dari bahagian tulang belakang untuk diperiksa . Ini adalah penting untuk mengenalpastikan dengan awal penyakit meningitis , dan untuk membolehkan doktor memulakan rawatan . Penyakit ini adalah serius dan boleh membawa kepada kecacatan fizikal , mental dan kerosakan deria -deria seperti penglihatan dan pendengaran atau juga maut . anggapan -anggapan yang salah seperti bayi itu akan lumpuh setelah air tulang belakangnya di ambil ( lumbar puncture ) terlalu menyebabkan ibu bapa tidak membenarkan doktor- doktor  menjalankan  proseder ini untuk menentukan atau mengenepikan penyakit meningitis . Yang merungsingkan ialah adakalanya kanak -kanak itu menunjukan tanda -tanda awal penyakit meningitis dan perasaan ini boleh membantu pengenalpasti dengan lebih awal penyakit ini . Jika ibu bapa membantah ini akan merumitkan perawatan dan akan membawa akibat yang buruk bagi kanak -kanak yang memang menunjukkan kemungkinan menghidap penyakit meningitis .

Kanak -kanak yang mula mendapat penyakit demam sawan dibawah usia setahun selalu didapati mudah mendapat sawan berulang lagi kalau dibandingkan dengan kanak -kanak yang mendapat sawan pada pertama kalinya bila berusia lebih dari dua tahun . Ada doktor -doktor yang menyarankan supaya ubat seperti phenobarbitone digunakan pada setiap hari untuk mengurangkan kemungkinan kanak -kanak itu mendapat demam sawan sekali lagi . Adalah disarankan supaya phenobarbitone diberi pada setiap malam hingga usia kanak -kanak itu lebih dari tiga tahun kerana selepas usia ini risiko untuknya mendapat demam sawan adalah rendah .

Ubat jenis lain yang boleh digunakan ialah ' Diapezam ' ( Valium ) yang diberi dengan cara ' suppository ' iaitu dijolokkan kedalam bahagian dubur setiap kali kanak -kanak ini mendapat demam yang tinggi dan ini akan mencegah demam sawan berlaku . Kesan -kesan sampingan bagi ibu seperti phenobarbitone jika digunakan adalah sedikit Umpamanya , ia boleh menyebabkan kanak -kanak itu sukar menumpukan perhatian kepada sesuatu perbuatan ( hyperactivity ) atau kanak -kanak itu berasa mengantuk terutamanya jika ubat ini terlalu banyak dimakan .

Apabila ubat diberi untuk jangka masa yang lama ( seperti phenobarbitone )selalu didapati ibu bapa gagal memberi anak mereka ubat setiap hari . Adakalanya berbulan -bulan kanak -kanak itu tidak menerima ubat yang dibekalkan oleh doktor itu . Akibatnya ialah apabila kanak -kanak itu mendapat demam yang tinggi suhunya dia boleh mendapat demam sawan walaupun ubat phenobarbitone dimulakan semula . Ubat phenobarbitone perlu diberi setiap hari untuk sekurang -kurangnya tujuh hari sebelum tahap ubat didalam darah cukup untuk mencegah sawan .

Ada juga doktor -doktor yang menggunakan ubat sodium valproate sebanyak dua hingga tiga kali dalam sehari sehingga anak itu sudah berumur sekurang -kurangnya tiga tahun . Walaupun ubat ini berkesan adakalanya kanak -kanak itu boleh mendapat kesan sampingan yang melibatkan hati atau ' liver ' dan oleh kerana itu ramai pakar kanak -kanak lebih gemar menggunakan phenobarbitone kerana ia dianggap lebih selamat .

 Kesimpulan

Demam sawan jarang membawa maut tetapi boleh menimbulkan rasa cemas .  Ia jarang membawa kesan yang buruk kepada perkembangan kanak -kanak . Kadangkala episop ini merupai penyakit meningitis dan doktor mungkin perlu memeriksa air dalam tulang belakang ( melakukan lumbar puncture ) . Sekumpulan kanak -kanak yang menghidap demam sawan menghadapi risiko yang sangat tinggi sawan itu berulang . Doktor -doktor akan menyarankan supaya ubat yang tertentu dimakan setiap hari untuk mencegahnya ( prophylaxis ) .

Sabtu, 27 Oktober 2012

10 Amalan Mudah Untuk Hidup Cara Sihat


Setiap orang pasti mahu melalui kehidupan seharian yang sihat dan ceria. Tapi, bagaimana? Ikuti 10 tips penting yang boleh menjadi amalan anda setiap hari. Mulakan dari sekarang!

1. Jangan tinggalkan sarapan pagi

Jika tidak sarapan, bermakna anda menyediakan tubuh anda tanpa tenaga! Biar bagaimana sibuk sekalipun, peruntukan waktu untuk mengambil sarapan pagi. Mungkin bijirin atau roti.








                                                                                             


2. Tinggalkan kasut tinggi

Tidak ramai wanita memikirkan tentang osteoporosis. Sedangkan, kalau diikutkan kajian, 50 peratus wanita mengalaminya berbanding lelaki.

Apakah puncanya? Kasut tinggi anda! Malah kadar kesihatan pada bahagian kaki lebih tinggi di kalangan wanita yang memakai kasut tumit tinggi melebihi dari dua inci. Bukan bermakna anda tidak boleh memakainya langsung. Cuma, kurangkanlah kadar ketinggiannya.

Pakailah kasut yg ketinggiannya kurang dari dua inci. Jika masih mahu mengenakan kasut lebih tinggi dari dua inci, pakailah hanya pada waktu majlis-majlis tertentu sahaja.








   3. Makan Badam

Berdasarkan kajian di Universiti California, jika individu mempunyai kadar kolesterol yang tinggi dan dalam diet hariannya memakan badam, paras kolestrol menurun. Para penyelidik berpendapat badam kaya dengan”polyunsaturated fat’. Jadi jangan berlengah lagi, jika anda terlebih kolestrol, berusaha untuk mengurangkannya dengan mengambil badam setiap hari.. 




                                                                                                      


4. Sebiji oren setiap hari

Kajian di British menunjukkan sebahagian 20 peratus dari punca sakit jantung ialah usia, tekanan darah, paras kolesterol dan merokok. Kajian yang dilakukan ke atas 20,000 orang di sana, menunjukkan dengan menambahkan 50 gram vitamin C dalam diet harian, cukup untuk membuat jantung sihat. Jika anda mahukan jantung anda terus sihat, amalkan memakan oren sebiji setiap hari, tak kiralah pada waktu bila sekalipun.




5. Ketawa

Tapi, awas pastikan anda ketawa bersebab. Mungkin dengan menonton filem komedi, membaca buku cerita lucu, mahupun berbual-bual dengan rakan yang suka berjenaka.




                                                                          


6. Tambahkan potassium

Tahukah anda, bagi individu yang kurang potassium di dalam tubuh, berisiko tinggi untuk diserang stroke. Jadi, perhatikan makanan yang boleh menambahkan potassium dalam tubuh anda. Antaranya ialah pisang.

Memakan sebiji pisang setiap hari juga sudah cukup untuk membolehkan potassium dalam tubuh anda sentiasa stabil. Selain itu anda boleh mengambil tembikai dan kentang rebus.



     7. Kuasa bunga

Anda mungkin antara penggemar bunga segar. Mungkinkah anda juga selalu harapkan pemberian bunga dari orang lain. Mungkin dari suami, kekasih, sahabat karib, malah sesiapa sahaja. Tapi cuba anda pergi ke kedai bunga, pilihlah jambangan bunga yang anda idamkan. Bawa pulang dan anda akan dapati, bunga yang anda beli membawa satu perubahan pada perasaan anda. Kesegarannya boleh merubah suasana di ruang yang anda letakkan bunga itu.            




8. Katakan ‘cheese’

Kenapa begitu? Maknanya senyumlah. Dua ulas bibir yang tersenyum bukan sahaja menggambarkan diri anda ceria. Bahkan, ia sebenarnya membantu diri untuk melalui kehidupan seharian dengan benar-benar gembira.





9. Jangan kosongkan perut

Selepas makan pagi, jangan biarkan perut kosong. Ambillah biskut, kentang goreng mahupun bijirin. Perut yang kosong dan anda dalam keadaan lapar bermakna kadar gula dalam darah anda turun. Jadi, untuk mengelakkan perkara ini, jangan biarkan perut kosong. Makanlah sesuatu, tetapi sedikit sahaja. Nanti terlebih makan, berat pula naik mendadak.






10. Tidur berkualiti.

Tidur berkualiti bukan bermakna masa tidur yang panjang! Sebaliknya tidur apabila mata sudah mengantuk. Bangunlah apabila tubuh sudah terasa segar. Titiskan beberapa titis minyak lavender pada bantal. Tidur anda lebih selesa. Pastikan perut juga tidak terlalu kenyang sebelum melelapkan mata.











Hidup sihat jom!


Hidup sihat jom!

SARANAN melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta bersenam setiap hari bukan hanya untuk individu yang ingin menurunkan berat badan, tetapi juga bermanfaat bagi golongan yang ada masalah paras kolesterol tinggi.

Sterol ini boleh didapati secara semula jadi di dalam buah-buahan, sayur-sayuran, pokok kekacang, kacang dan bijian. Jadi bagi individu yang ada masalah paras kolesterol tinggi, selain pengambilan ubat, perubahan makanan sangat penting untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.

Menurut pakar kesihatan, mengambil makanan mengandungi sterol adalah cara paling mudah untuk menurunkan paras kolesterol tidak baik, sekali gus mengurangkan risiko serangan jantung.

Kini ada pengusaha makanan menambah sterol kepada produk mereka, termasuk dalam susu, marjerin, jus, bijirin sarapan pagi dan makanan lain berasaskan bijirin.

Bagaimanapun, ramai pakar berpendapat, lebih baik jika mendapat khasiat baik ini daripada sumber makanan kerana bukan saja mengandungi sterol tetapi turut mempunyai pelbagai zat lain yang saling bekerjasama memberi kebaikan kepada kesihatan.

Kolesterol ialah bahan lembut seperti lilin yang wujud dalam aliran darah dan sel badan. Ia penting untuk membantu badan berfungsi dan pembentukan membran sel dan hormon. Kolesterol dibawa oleh lipoprotein.

Lipoprotein densiti tinggi (HDL) adalah kolesterol baik yang mampu mengelak endapan kolesterol dalam salur darah. Lipoprotein densiti rendah (LDL) juga dipanggil kolesterol tidak baik boleh berkumpul pada dinding saluran darah dan membentuk plak.

Pengumpulan plak ini lama-kelamaan membuatkan saluran darah menjadi sempit atau tersumbat. Jika bekalan darah ke jantung terhalang, ia menyebabkan serangan jantung dan jika ia membabitkan saluran darah ke otak, seseorang itu boleh mengalami strok. Ini kerana saluran darah ke jantung atau otak sangat halus dan mudah tersumbat.

Justeru, penjagaan paras kolesterol sangat penting. Semua orang perlu tahu paras kolesterol masing-masing dan paras selamat ialah di bawah 5.2 milimol/liter. Antara langkah yang boleh diambil untuk merendahkan paras kolesterol ialah:

a. Makan cara berhemah

Banyak penyakit gaya hidup muncul kerana kita tewas pada dugaan selera. Antara penyakit itu ialah kencing manis, sakit jantung, strok, tekanan darah tinggi dan obesiti. Sama ada anda belum atau mempunyai penyakit gaya hidup ini, buat perubahan sekarang demi kesihatan diri. Walaupun perubahan dilakukan itu kecil tetapi jika diamalkan setiap hari, ia boleh membawa perubahan besar terhadap status kesihatan.

Antara langkah yang anda boleh ambil ialah:

# Pilih ayam tanpa kulit atau daging tanpa lemak. Jika ayam yang anda beli mempunyai kulit, buang kulitnya.

# Makan ikan yang mempunyai asid lemak beberapa kali seminggu.

# Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Cuba ambil sekurang-kurangnya lima hidangan sehari.

Bagi yang jarang makan sayur, mulakan dengan mengambil satu hidangan sayur-sayuran setiap kali anda makan nasi dan apabila sudah biasa, jadikan dua hidangan. Cara lain yang anda boleh lakukan ialah dengan makan sebiji atau sepotong buah-buahan pada waktu pagi (sarapan) atau sebagai snek antara waktu makan.

Pakar Kardiologi, Datuk Khoo Kah Lin berulang kali mengingatkan supaya kita membahagikan pinggan kepada empat bahagian — satu bahagian untuk sumber karbohidrat (nasi); satu bahagian untuk protein (contohnya ikan, daging, telur) dan dua bahagian lagi diisi dengan sayur-sayuran. Lebih baik jika anda boleh memulakan hidangan tengah hari atau malam dengan sebiji atau sepotong buah-buahan.

# Kurangkan penggunaan minyak dan santan kelapa ketika memasak.

# Kurangkan snek bergoreng yang mengandungi banyak garam dan lemak, terutama ketika menonton televisyen.

# Kurangkan pengambilan produk tenusu penuh lemak dan gantikan dengan jenis rendah atau tanpa lemak.

b. Ubah sikap

# Bergiat aktif dengan sekurang-kurangnya berjalan pantas setiap hari selama 20 hingga 30 minit; tiga atau empat kali seminggu. Antara aktiviti cergas lain yang boleh dilakukan ialah berenang, berbasikal, berjoging atau menari. Melakukan aktiviti cergas (pada tahap sederhana) selama dua setengah jam seminggu atau senaman lasak selama sejam seminggu boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 30 peratus.

Jika tidak dapat bersenam selama 20 hingga 30 minit berterusan, anda boleh membahagikannya kepada tiga waktu iaitu 10 minit untuk satu waktu. Ia boleh dilakukan pada waktu pagi, tengah hari dan malam kerana kajian menunjukkan kesan senaman yang dibahagikan kepada tiga waktu adalah sama dengan senaman dalam satu sesi; selagi ia dilakukan pada hari sama.

# Kekalkan ukuran pinggang yang sihat iaitu tidak melebihi 80 sentimeter (36 inci) bagi wanita dan 90 sentimeter (41 inci) bagi lelaki.

# Pelajari pelbagai kaedah untuk mengawal tekanan. Ini termasuk berehat secukupnya, tidur, bersenam, meditasi dan bersembahyang.

# Bahagikan tugas mengikut keperluan; oleh kerana semuanya sama penting; lihat kepada mana yang perlu diutamakan. Belajar berkata ‘tidak’ apabila diberi tugas berlebihan, terutama jika anda ada banyak kerja dan di luar daripada kemahiran anda.

# Berhenti merokok.

# Kurangkan pengambilan minuman beralkohol atau lebih baik jika dapat berhenti terus. Walaupun ada pendapat mengatakan wain merah memberi manfaat kepada kesihatan jantung, tetapi jika anda tidak meminumnya, anda tidak rugi apa-apa.

# Jalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan jantung.