Sabtu, 27 Oktober 2012

PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH [BHG1]



Definisi Haji:

Hukum dan Dalilnya: Ibadat Haji difardhukan sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.

Dalil dari al-Quran:

Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.
Allah s.w.t telah memfardhukan ibadat Haji pada tahun kesembilan hijrah dan Nabi  Muhammad s.a.w tidak pernah mengerjakan ibadat Haji kecuali Haji Wida'.

Dalil dari hadis:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Islam dibina atas lima rukun." Baginda s.a.w. menyebut di antaranya ialah ibadat Haji. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidak ada ganjaran bagi Ibadat Haji yang mabrur kecuali Syurga." Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan ibadat Haji dan tidak sekali-kali menyetubuhi isterinya juga tidak melakukan maksiat nescaya dia kembali suci bersih sebagaimana hari dia dilahirkan." Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Wahai umatku semua, sesungguhnya Allah s.w.t. memfardhukan ibadat haji kepada kamu, oleh itu kamu hendaklah mengerjakan ibadat haji." Lalu seorang lelaki bertanya Baginda s.a.w.: "Adakah wajib dikerjakan pada setiap tahun, wahai Rasullullah?" Rasulullah s.a.w. hanya diam sehinggalah lelaki tersebut bertanya kali ketiga lantas Baginda s.a.w. menjawab: "Jika aku katakan ya, nescaya kamu wajib mengerjakan pada setiap tahun, oleh itu kerjakanlah ibadat haji ketika kamu berkemampuan."


Semua imam-imam bersependapat bahawa ibadat Haji adalah fardhu, malah ia adalah rukun Islam kelima dan ia juga fardhu yang perlu dikerjakan secepat mungkin.

Fardu:

Pekerjaan Haji yang mesti dikerjakan dan ia adalah penentu bagi ibadat Haji sama ada sah atau tidak serta tidak wajib membayar Dam apabila meninggalkannya. Fardhu juga dikira sebagai rukun dan syarat. Semua Mazhab bersependapat tentang perkara fardhu dan wajib dalam Haji. Pekerjaan Haji yang mesti dikerjakan malah batal Haji jika meninggalkannya. Fardhu juga dikira sebagai rukun Haji.

Perkara-perkara fardu di dalam Haji terdiri dari empat perkara iaitu:
1- Berihram.
2- Wuquf di Arafah.
3- Tawaf Ifadhah.
4- Bersaie di antara Safa dan Marwah.

Semua Mazhab bersependapat tentang perkara fardhu dan wajib dalam Haji.

Perkara-perkara wajib didalam Haji:

Wajib: Pekerjaan Haji yang mesti dikerjakan serta wajib membayar Dam jika meninggalnya.

Perkara-perkara wajib di dalam Haji terdiri dari empat perkara iaitu:

1- Berihram dari Miqat.
2- Wuquf di Arafah.
3- Bermalam di Muzdalifah.
4- Bermalam di Mina.
5- Bercukur atau bergunting rambut dan bercukur adalah afdhal.
6- Melontar setiap Jamrah.
7- Tawaf Wida'

Semua Mazhab bersependapat tentang perkara fardhu dan wajib dalam Haji.

Perkara-perkara sunat didalam Haji:

Perkara yang digalak mengerjakannya. Orang yang mengerjakannya akan diganjarkan dengan pahala dan orang yang meninggalkannya tidak akan dibalas seksa. Sunat, mandub, mustahab dan tatawwu' ialah: Beberapa perkataan yang mempunyai pengertian sama.

Perkara-perkara sunat di dalam Haji iaitu:
1- Mandi sunat Ihram.
2- Bertalbiah.
3- Melakukan Tawaf Qudum bagi bagi orang yang mengerjakan Haji Ifrad dan Haji Qiran.
4- Bermalam di Mina pada malam Arafah.
5- Berlari-lari anak dan sopan-santun ketika melakukan Tawaf Qudum.

JENIS-JENIS HAJI

Haji Tamattu':

Haji Tamattu' ialah mengerjakan Umrah pada bulan-bulan Haji, kemudian mengerjakan Haji pada tahun yang sama, di mana ketika berniat ihram Haji jemaah Haji berniat secara "Haji Tamattu'". Setelah itu dia berniat dan berihram untuk mengerjakan Umrah secara berasingan seperti yang dijelaskan sebagaimana berikut. Dia hendaklah menyebut:
Yang bermaksud: (Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Umrah kerana ingin mengerjakan Haji Tamattu'), wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Umrah, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Umrah daripadaku, sahaja aku menunaikan ibadat Umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Serta bertalbiah. Ketika sampai di Mekah al-Mukarramah jemaah Haji pergi ke Baitullah al-Haram lalu mengerjakan Tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, kemudian bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, kemudian bertahallul dari Ihram dengan bercukur atau bergunting. Jemaah Haji terus berada dalam keadaan Tahallul sehinggalah sampai pada hari Tarwiah iaitu pada 8 Zulhijah di mana jemaah Haji akan berniat Ihram Haji dari tempat dia turun sambil berkata:

 "Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Haji, wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Haji, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Haji daripadaku, sahaja aku menunaikan ibadat Haji dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu, telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, tidak ada sekutu bagiMu. Telah aku penuhi seruanMu, sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan segala pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu. Wahai Tuhanku! Diharamkan bagiMu rambutku dan diriku, jasadku dan semua anggotaku, daripada wangi-wangian dan perempuan serta dari semua perkara yang Engkau haramkan terhadap orang yang berihram, aku mengharapkan pertolonganMu, wahai Tuhan sekelian alam."

Seterusnya dia mengerjakan Haji sebagaimana jemaah Haji yang mengerjakan Haji Ifrad, cuma dia perlu membayar Dam kerana menikmati kemudahan semasa mengerjakan Umrah pada bulan-bulan Haji sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan."
Umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Orang yang telah mengerjakan Tawaf Umrah ketika mengerjakan Haji Tamattu' tidak perlu lagi mengerjakan Tawaf Qudum bagi Haji malah selepas Tahallul yang pertama dia hendaklah melakukan Tawaf Ifadhah dan bersaie di antara Safa dan Marwah bagi ibadat Haji mengikut pendapat jumhur ulama. Walau bagaimanapun bagi Mazhab Hanafi, bagi jemaah Haji yang mengerjakan Haji Tamattu' yang tidak membawa (mendapatkan) binatang ternakan, tetapi jika telah membawa (mendapatkan) binatang tersebut, maka hukumnya sama seperti hukum Haji Qiran.

Haji Qiran:

Haji Qiran ialah menghimpunkan antara Haji dan Umrah dalam satu perjalanan musafir (sekali pergi). Jemaah Haji berniat Haji dan Umrah dengan satu niat dari miqat yang ditetapkan dengan berkata: Yang bermaksud: "Aku telah memenuhi seruanMu untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah."

Apabila jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran memasuki Kota Mekah, dia melakukan Tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan secara berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama kemudian diteruskan dengan bersaie di antara Safa dan Marwah seterusnya disyarakkan di sisi Hanafi agar jemaah Haji melakukan pekerjaan-pekerjaan Haji sebagaimana Haji Ifrad manakala di sisi jumhur memadai bagi jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran melakukan satu Tawaf (tujuh pusingan) dan satu Saie (tujuh pusingan) sahaja kerana Tawaf dan Saie Umrah yang dilakukan itu juga dikira sebagai Tawaf dan Saie Haji sehinggalah dia bertahallul dari Umrah dan Haji secara serentak.

Haji Ifrad:

Haji Ifrad ialah berihram Haji sahaja (mengerjakan ibadat Haji secara berasingan) di mana jemaah Haji hanya berniat ihram Haji sahaja di miqat yang ditetapkan kemudian menyebut: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Aku ingin mengerjakan ibadat Haji, oleh itu permudahkanlah bagiku dan terimalah ibadat Hajiku."

Lantas bertalbiah. Apabila memasuki Kota Mekah jemaah Haji mula melakukan pekerjaan Haji di Masjidil Haram di mana apabila melihat Baitullah jemaah Haji bertakbir kemudian mengucapkan LA ILAAHA ILLALLAH dan bertasbih seterusnya melakukan Tawaf bagi bukan penduduk Mekah iaitu Tawaf Qudum mengelilingi Baitullah sebanyak tujuh kali sambil menutup bahu kiri dan berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama.

Cara tersebut adalah sunat di sisi jumhur dan wajib bagi Mazhab Maliki. Penduduk Mekah tidak boleh melakukan Tawaf tersebut. Setelah selesai melakukan Tawaf Qudum, dilakukan pula Saie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh pusingan. Kemudian terus berada di Mekah dalam keadaan berihram. Apabila tiba hari Tarwiah dia berangkat ke Mina dan berada di sana sehingga selesai mendirikan sembahyang Subuh hari Arafah. Setelah itu bertolak pula ke Arafah dan berada di sana serta mendirikan sembahyang Zuhur dan Asar pada waktu Zuhur (Jamak Taqdim). Setelah tenggelam matahari jemaah Haji mula ifadhah (beredar) sehingga tiba di Muzdalifah lalu mendirikan sembahyang Maghrib dan Isyak. Apabila terbit matahari pada Hari Nahar (Hari Raya Korban), jemaah Haji ifadhah (beredar) lagi ke Mina lantas mula melontar. Talbiah tidak lagi disebut setelah bermulanya lontaran pertama. Kemudian menyembelih korban jika ingin berbuat demikian lantas bercukur atau bergunting sebagai bertahallul, dengan demikian jemaah Haji dihalal semua perkara yang diharamkan semasa dalam keadaan berihram kecuali perempuan (bersetubuh).

Setelah itu jemaah haji kembali ke Mekah lalu melakukan Tawaf di Baitullah sebagai Tawaf ziarah sebanyak tujuh pusingan seterusnya bersaie di antara Safa dan Marwah jika tidak melakukan Saie selepas Tawaf Qudum. Setelah selesai bolehlah bersaie dan bertahallul serta dihalalkan baginya perempuan (bersetubuh). Jemaah Haji kembali semula ke Mina dan berada di sana sehingga selesai melontar ketiga-tiga jamrah sama ada jemaah Haji yang tergesa-gesa ingin cepat pulang atau yang masih mempunyai banyak masa. Setelah itu jemaah Haji kembali lagi ke Mekah melakukan Tawaf Wida'.

Haji Untuk Orang Lain:

Sesiapa yang mempunyai perbelanjaan untuk mengerjakan ibadat Haji tetapi tidak terdaya untuk menunaikannya sendiri, sama ada disebabkan sakit ataupun tua, dia hendaklah menghantar seseorang supaya mengerjakan Haji untuknya berpandukan kepada hadis Al-Fadli bin Abbas: Bahawa seorang perempuan dari Khath'am telah bertanya kepada Rasullullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah, Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memfardhukan ibadat haji keatas hambaNya, aku dapati ayahku terlalu tua dan tidak dapat bertahan diatas kenderaan, bolehkah aku mengerjakan haji untuknya?" Baginda s.a.w. menjawab: "Ya."

Ini adalah mengikut pendapat Imam Syafie, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah manakala pendapat Imam Malik: Tidak wajib. Fardu Haji tidak gugur ke atas orang sakit yang sembuh selepas penggantinya menunaikan Haji untuknya dan dia diwajibkan mengulangi ibadat Haji. Mengikut pendapat Imam Ahmad fardu tersebut telah gugur apabila dia sembuh dari sakit. Sesiapa yang telah menunaikan Haji nazar sedangkan dia belum menunaikan Haji yang fardu, Haji tersebut akan dikira Haji yang fardu kemudian hendaklah dia menunaikan Haji nazarnya. Sesiapa yang meninggal dunia sebelum menunaikan ibadat Haji, ataupun Haji yang dinazarkan, walinya wajiblah mengupah seseorang untuk menunaikan Haji untuknya daripada harta peninggalannya dan ini merupakan pendapat Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali.

Manakala pendapat Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki pula:

Pewaris tidak diwajibkan menunai Haji untuk si mati melainkan apabila si mati telah mewasiatkannya dan hendaklah dia menunaikan Haji untuk si mati (dengan perbelanjaan) satu pertiga daripada harta peninggalannya.

Orang yang ingin menunaikan Haji untuk orang lain disyaratkan:

Telah menunaikan Haji untuk dirinya sendiri sama ada dia berkuasa atau tidak. Ini berpandukan riwayat daripada Ibnu Abbas r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah terdengar seorang lelaki berkata: "Aku telah penuhi seruanMu untuk Syabramah.": Lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Apakah kamu telah mengerjakan haji kamu sendiri?" Dia menjawab: "Tidak". Baginda s a.w. bersabda lagi: "Kerjakanlah haji untuk diri kamu, kemudian kerjakanlah haji untuk Syabramah."

Ibadat Haji Orang Perempuan:

Orang perempuan tidak wajib mengerjakan Haji sehinggalah dia mempunyai suami atau mahram yang boleh menemaninya di dalam perjalanannya berdasarkan kepada hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Orang perempuan tidak boleh bermusafir melainkan bersama marham." Seorang leleaki telah berdiri lalu berkata: "Wahai Rasulullah, isteriku telah keluar untuk mengerjakan haji sedang aku ditugaskan menyertai peperangan?" Lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Pergilah dan kerjakan haji bersama isteri kamu."

Mengikut pendapat Mazhab Hanafi dan Mazhab Hambali, kedua-duanya meletakkan syarat:

Orang perempuan tidak boleh keluar (untuk mengerjakan Haji) melainkan bersama suami atau mahram.



10 Amalan Mudah Untuk Hidup Cara Sihat


Setiap orang pasti mahu melalui kehidupan seharian yang sihat dan ceria. Tapi, bagaimana? Ikuti 10 tips penting yang boleh menjadi amalan anda setiap hari. Mulakan dari sekarang!

1. Jangan tinggalkan sarapan pagi

Jika tidak sarapan, bermakna anda menyediakan tubuh anda tanpa tenaga! Biar bagaimana sibuk sekalipun, peruntukan waktu untuk mengambil sarapan pagi. Mungkin bijirin atau roti.








                                                                                             


2. Tinggalkan kasut tinggi

Tidak ramai wanita memikirkan tentang osteoporosis. Sedangkan, kalau diikutkan kajian, 50 peratus wanita mengalaminya berbanding lelaki.

Apakah puncanya? Kasut tinggi anda! Malah kadar kesihatan pada bahagian kaki lebih tinggi di kalangan wanita yang memakai kasut tumit tinggi melebihi dari dua inci. Bukan bermakna anda tidak boleh memakainya langsung. Cuma, kurangkanlah kadar ketinggiannya.

Pakailah kasut yg ketinggiannya kurang dari dua inci. Jika masih mahu mengenakan kasut lebih tinggi dari dua inci, pakailah hanya pada waktu majlis-majlis tertentu sahaja.








   3. Makan Badam

Berdasarkan kajian di Universiti California, jika individu mempunyai kadar kolesterol yang tinggi dan dalam diet hariannya memakan badam, paras kolestrol menurun. Para penyelidik berpendapat badam kaya dengan”polyunsaturated fat’. Jadi jangan berlengah lagi, jika anda terlebih kolestrol, berusaha untuk mengurangkannya dengan mengambil badam setiap hari.. 




                                                                                                      


4. Sebiji oren setiap hari

Kajian di British menunjukkan sebahagian 20 peratus dari punca sakit jantung ialah usia, tekanan darah, paras kolesterol dan merokok. Kajian yang dilakukan ke atas 20,000 orang di sana, menunjukkan dengan menambahkan 50 gram vitamin C dalam diet harian, cukup untuk membuat jantung sihat. Jika anda mahukan jantung anda terus sihat, amalkan memakan oren sebiji setiap hari, tak kiralah pada waktu bila sekalipun.




5. Ketawa

Tapi, awas pastikan anda ketawa bersebab. Mungkin dengan menonton filem komedi, membaca buku cerita lucu, mahupun berbual-bual dengan rakan yang suka berjenaka.




                                                                          


6. Tambahkan potassium

Tahukah anda, bagi individu yang kurang potassium di dalam tubuh, berisiko tinggi untuk diserang stroke. Jadi, perhatikan makanan yang boleh menambahkan potassium dalam tubuh anda. Antaranya ialah pisang.

Memakan sebiji pisang setiap hari juga sudah cukup untuk membolehkan potassium dalam tubuh anda sentiasa stabil. Selain itu anda boleh mengambil tembikai dan kentang rebus.



     7. Kuasa bunga

Anda mungkin antara penggemar bunga segar. Mungkinkah anda juga selalu harapkan pemberian bunga dari orang lain. Mungkin dari suami, kekasih, sahabat karib, malah sesiapa sahaja. Tapi cuba anda pergi ke kedai bunga, pilihlah jambangan bunga yang anda idamkan. Bawa pulang dan anda akan dapati, bunga yang anda beli membawa satu perubahan pada perasaan anda. Kesegarannya boleh merubah suasana di ruang yang anda letakkan bunga itu.            




8. Katakan ‘cheese’

Kenapa begitu? Maknanya senyumlah. Dua ulas bibir yang tersenyum bukan sahaja menggambarkan diri anda ceria. Bahkan, ia sebenarnya membantu diri untuk melalui kehidupan seharian dengan benar-benar gembira.





9. Jangan kosongkan perut

Selepas makan pagi, jangan biarkan perut kosong. Ambillah biskut, kentang goreng mahupun bijirin. Perut yang kosong dan anda dalam keadaan lapar bermakna kadar gula dalam darah anda turun. Jadi, untuk mengelakkan perkara ini, jangan biarkan perut kosong. Makanlah sesuatu, tetapi sedikit sahaja. Nanti terlebih makan, berat pula naik mendadak.






10. Tidur berkualiti.

Tidur berkualiti bukan bermakna masa tidur yang panjang! Sebaliknya tidur apabila mata sudah mengantuk. Bangunlah apabila tubuh sudah terasa segar. Titiskan beberapa titis minyak lavender pada bantal. Tidur anda lebih selesa. Pastikan perut juga tidak terlalu kenyang sebelum melelapkan mata.











Hidup sihat jom!


Hidup sihat jom!

SARANAN melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta bersenam setiap hari bukan hanya untuk individu yang ingin menurunkan berat badan, tetapi juga bermanfaat bagi golongan yang ada masalah paras kolesterol tinggi.

Sterol ini boleh didapati secara semula jadi di dalam buah-buahan, sayur-sayuran, pokok kekacang, kacang dan bijian. Jadi bagi individu yang ada masalah paras kolesterol tinggi, selain pengambilan ubat, perubahan makanan sangat penting untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.

Menurut pakar kesihatan, mengambil makanan mengandungi sterol adalah cara paling mudah untuk menurunkan paras kolesterol tidak baik, sekali gus mengurangkan risiko serangan jantung.

Kini ada pengusaha makanan menambah sterol kepada produk mereka, termasuk dalam susu, marjerin, jus, bijirin sarapan pagi dan makanan lain berasaskan bijirin.

Bagaimanapun, ramai pakar berpendapat, lebih baik jika mendapat khasiat baik ini daripada sumber makanan kerana bukan saja mengandungi sterol tetapi turut mempunyai pelbagai zat lain yang saling bekerjasama memberi kebaikan kepada kesihatan.

Kolesterol ialah bahan lembut seperti lilin yang wujud dalam aliran darah dan sel badan. Ia penting untuk membantu badan berfungsi dan pembentukan membran sel dan hormon. Kolesterol dibawa oleh lipoprotein.

Lipoprotein densiti tinggi (HDL) adalah kolesterol baik yang mampu mengelak endapan kolesterol dalam salur darah. Lipoprotein densiti rendah (LDL) juga dipanggil kolesterol tidak baik boleh berkumpul pada dinding saluran darah dan membentuk plak.

Pengumpulan plak ini lama-kelamaan membuatkan saluran darah menjadi sempit atau tersumbat. Jika bekalan darah ke jantung terhalang, ia menyebabkan serangan jantung dan jika ia membabitkan saluran darah ke otak, seseorang itu boleh mengalami strok. Ini kerana saluran darah ke jantung atau otak sangat halus dan mudah tersumbat.

Justeru, penjagaan paras kolesterol sangat penting. Semua orang perlu tahu paras kolesterol masing-masing dan paras selamat ialah di bawah 5.2 milimol/liter. Antara langkah yang boleh diambil untuk merendahkan paras kolesterol ialah:

a. Makan cara berhemah

Banyak penyakit gaya hidup muncul kerana kita tewas pada dugaan selera. Antara penyakit itu ialah kencing manis, sakit jantung, strok, tekanan darah tinggi dan obesiti. Sama ada anda belum atau mempunyai penyakit gaya hidup ini, buat perubahan sekarang demi kesihatan diri. Walaupun perubahan dilakukan itu kecil tetapi jika diamalkan setiap hari, ia boleh membawa perubahan besar terhadap status kesihatan.

Antara langkah yang anda boleh ambil ialah:

# Pilih ayam tanpa kulit atau daging tanpa lemak. Jika ayam yang anda beli mempunyai kulit, buang kulitnya.

# Makan ikan yang mempunyai asid lemak beberapa kali seminggu.

# Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Cuba ambil sekurang-kurangnya lima hidangan sehari.

Bagi yang jarang makan sayur, mulakan dengan mengambil satu hidangan sayur-sayuran setiap kali anda makan nasi dan apabila sudah biasa, jadikan dua hidangan. Cara lain yang anda boleh lakukan ialah dengan makan sebiji atau sepotong buah-buahan pada waktu pagi (sarapan) atau sebagai snek antara waktu makan.

Pakar Kardiologi, Datuk Khoo Kah Lin berulang kali mengingatkan supaya kita membahagikan pinggan kepada empat bahagian — satu bahagian untuk sumber karbohidrat (nasi); satu bahagian untuk protein (contohnya ikan, daging, telur) dan dua bahagian lagi diisi dengan sayur-sayuran. Lebih baik jika anda boleh memulakan hidangan tengah hari atau malam dengan sebiji atau sepotong buah-buahan.

# Kurangkan penggunaan minyak dan santan kelapa ketika memasak.

# Kurangkan snek bergoreng yang mengandungi banyak garam dan lemak, terutama ketika menonton televisyen.

# Kurangkan pengambilan produk tenusu penuh lemak dan gantikan dengan jenis rendah atau tanpa lemak.

b. Ubah sikap

# Bergiat aktif dengan sekurang-kurangnya berjalan pantas setiap hari selama 20 hingga 30 minit; tiga atau empat kali seminggu. Antara aktiviti cergas lain yang boleh dilakukan ialah berenang, berbasikal, berjoging atau menari. Melakukan aktiviti cergas (pada tahap sederhana) selama dua setengah jam seminggu atau senaman lasak selama sejam seminggu boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 30 peratus.

Jika tidak dapat bersenam selama 20 hingga 30 minit berterusan, anda boleh membahagikannya kepada tiga waktu iaitu 10 minit untuk satu waktu. Ia boleh dilakukan pada waktu pagi, tengah hari dan malam kerana kajian menunjukkan kesan senaman yang dibahagikan kepada tiga waktu adalah sama dengan senaman dalam satu sesi; selagi ia dilakukan pada hari sama.

# Kekalkan ukuran pinggang yang sihat iaitu tidak melebihi 80 sentimeter (36 inci) bagi wanita dan 90 sentimeter (41 inci) bagi lelaki.

# Pelajari pelbagai kaedah untuk mengawal tekanan. Ini termasuk berehat secukupnya, tidur, bersenam, meditasi dan bersembahyang.

# Bahagikan tugas mengikut keperluan; oleh kerana semuanya sama penting; lihat kepada mana yang perlu diutamakan. Belajar berkata ‘tidak’ apabila diberi tugas berlebihan, terutama jika anda ada banyak kerja dan di luar daripada kemahiran anda.

# Berhenti merokok.

# Kurangkan pengambilan minuman beralkohol atau lebih baik jika dapat berhenti terus. Walaupun ada pendapat mengatakan wain merah memberi manfaat kepada kesihatan jantung, tetapi jika anda tidak meminumnya, anda tidak rugi apa-apa.

# Jalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan jantung.